UPM Institutional Repository

Daya hidup bahasa bisaya sebagai bahasa etnik minoriti di Sabah


Citation

Suhailin, Md. Roslan (2020) Daya hidup bahasa bisaya sebagai bahasa etnik minoriti di Sabah. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Generasi muda etnik Bisaya semakin kurang menggunakan bahasa ibunda mereka. Kajian ini bertujuan untuk menentukan daya hidup bahasa Bisaya di daerah Beaufort, Sabah. Para peserta ialah 205 pelajar menengah atas (tingkatan 4, 5 dan 6) yang terdiri daripada etnik Bisaya dari tiga buah Sekolah Menengah Kebangsaan. Model daya hidup bahasa dan Teori Balikkan Peralihan Bahasa diaplikasikan dengan menggunakan 9 set soal selidik. Selain itu, pelaksanaan tinjauan dalam kajian ini memanfaatkan Model Tatatingkat Skala Gangguan Intergenerasi dan menganalisis pengetahuan kata bahasa ibunda peserta kajian berdasarkan Senarai Kata Melayu Swadesh. Hasil kajian menunjukkan bahawa pilihan terbaik menggambarkan jumlah peratus bahasa Bisaya sebagai bahasa ibunda dan bahasa Melayu bagi peserta pada hari biasa di sekolah, di rumah dan sewaktu bergaul dengan rakan adalah sebanyak 25% bahasa Bisaya, 75% bahasa Melayu. Bilangan penutur mutlak bahasa Bisaya adalah diklasifikasi sebagai ‘Terancam’ (6b). Dapatan ini menunjukkan dengan jelas bahawa bahasa Bisaya terdedah kepada adaptasi dan asimilasi bahasa yang lebih dominan. Tahap ancaman daya hidup bahasa Bisaya yang berhubung transmisi bahasa antara generasi tua dengan generasi muda adalah pada Gred 3, iaitu ‘Terancam’. Pada tahap ini bahasa itu digunakan oleh kebanyakan generasi ibu bapa dan golongan yang lebih tua. Bagi faktor peralihan dalam domain penggunaan bahasa, peserta memilih Gred 3 ‘Domain berkurangan’. Bagi domain dan fungsi, bahasa Bisaya digunakan dalam domain rumah dan untuk banyak fungsi, tetapi bahasa Melayu yang dominan telah mula menular ke dalam domain rumah. Respons terhadap domain dan media baharu jatuh pada Gred 2 ‘Bertahan’, iaitu bahasa Bisaya digunakan di dalam beberapa domain baharu. Ketersediaan bahan untuk pendidikan dan literasi ialah pada Gred 2 yang ditafsirkan sebagai bahan bertulis ada tetapi hanya berguna untuk beberapa ahli masyarakat; bagi yang lain, bahasa itu mungkin ada kepentingan simbolik. Pendidikan literasi dalam bahasa Bisaya bukan sebahagian daripada kurikulum sekolah. Peserta memilih Gred 4 bagi sikap ahli masyarakat terhadap bahasa mereka sendiri, dan ini menunjukkan kebanyakan ahli masyarakat menyokong pemeliharaan bahasa Bisaya. Jenis dan kualiti dokumentasi bahasa Bisaya adalah pada Gred 3, ‘Berpatutan”. Item berkaitan sikap dan dasar bahasa kerajaan serta institusi termasuk status rasmi dan penggunaan bahasa Bisaya adalah pada Gred 4 ‘Sokongan dibezakan’. Terdapat perbezaan yang jelas dalam konteks bahasa dominan/rasmi dan bahasa yang bukan dominan digunakan. Secara perbandingan, tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pengetahuan bahasa Bisaya kumpulan responden lelaki dengan kumpulan responden perempuan. Model Tatatingkat Skala Gangguan Bahasa Bisaya di Beaufort, Sabah menunjukkan prasyarat lazim bagi bahasa terancam punah meskipun penutur belum beralih ke bahasa lain. Oleh itu, cadangan penyediaan Kerangka Etnolinguistik Revitalisasi Bahasa Bisaya di daerah Beaufort, Sabah, harus dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bahasa Kementerian Pendidikan Malaysia. Keutamaan ialah projek perintis yang menjadi asas untuk menilai program pemeliharaan untuk bahasa-bahasa lain dalam program seterusnya.


Download File

[img] Text
FBMK 2020 56 IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Language and languages - Orthography and spelling
Subject: Native language
Subject: Bisaya (Malaysian people) - Malaysia
Call Number: FBMK 2020 56
Chairman Supervisor: Prof. Madya Arba’ie Bin Sujud , PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 14 Feb 2023 07:56
Last Modified: 14 Feb 2023 07:56
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99106
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item