UPM Institutional Repository

Pembangunan bakat kepemimpinan guru besar sekolah rendah kebangsaan melalui proses pementoran dalam program pembangunan profesional pemimpin pendidikan


Citation

Murshid, Siti Fairuz (2021) Pembangunan bakat kepemimpinan guru besar sekolah rendah kebangsaan melalui proses pementoran dalam program pembangunan profesional pemimpin pendidikan. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini dilaksanakan bagi mengkaji Pembangunan Bakat Kepemimpinan Guru Besar melalui proses pementoran dalam program pembangunan profesional pemimpin pendidikan di Malaysia. Program pementoran PRIme (Program Residency dan Immersion) telah diwujudkan bagi membangunkan bakat kepemimpinan pemimpin baharu pendidikan dalam mengorak langkah untuk menjayakan aspirasi pendidikan negara. Namun begitu, masalah ketidakpuasan terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah masih menjadi persoalan (Azlin Norhaini &Roselan, 2017). Amalan pementoran sebagai pemboleh ubah yang dapat membangunkan bakat pemimpin baharu pendidikan tidak banyak dikupas secara terperinci dalam kajian lepas (Arar, 2018). Justeru, kajian ini dijalankan bagi meneroka secara mendalam proses pembangunan bakat Guru Besar Baharu melalui proses pementoran bagi menjawab tiga persoalan utama: 1) Apakah pemahaman Guru Besar Baharu yang berkaitan terhadap pelaksanaan pementoran di bawah Program PRIme? 2) Bagaimanakah proses pementoran di bawah Program PRIme dilaksanakan ke atas Guru Besar Baharu? 3) Sejauh manakah program pementoran yang dijalankan di bawah Program PRIme dapat membangunkan bakat kepemimpinan Guru Besar Baharu? Bagi menjawab persoalan kajian yang ditetapkan, kajian kes kualitatif telah digunakan. Sejumlah 8 orang informan terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada lima orang menti dan tiga orang mentor. Tiga teknik pengumpulan data digunakan bagi mengumpul data yang kaya iaitu temu bual separa berstruktur, pemerhatian tidak turut serta dan penganalisisan dokumen. Data yang diperoleh diuruskan menggunakan ATLAS.ti 8 dan diberikan kod, kategori seterusnya subtema bagi membangunkan tema utama untuk menjawab setiap persoalan kajian. Kebolehpercayaan dan kesahan dapatan kajian diperolehi dengan menggunakan teknik triangulasi, jejak audit, penilaian rakan sekerja dan hubungan berterusan antara pengkaji dan informan. Dapatan kajian menunjukkan bakat kepemimpinan melalui pembelajaran pementoran berlaku secara timbal balik dan didasarkan kepada keperluan sosialisasi menti menerusi perkongsian pengalaman, pemerhatian, penglibatan secara aktif dengan kumpulan pengamal dan pembelajaran interaktif berterusan antara mentor dan menti. Semasa pementoran, bakat menti dibangunkan melalui tiga cabang utama iaitu pembangunan emosi, sosial dan intelektual yang menjadi tunjang utama pengukuhan ciri pemimpin berbakat. Pembangunan emosi dilihat melalui pembentukkan efikasi kendiri, pembangunan sosial ditunjukkan dalam keupayaan untuk bekerjasama dalam komuniti manakala pembangunan intelektual dilihat dalam kecekapan menti memainkan peranan sebagai pengurus dan pemimpin sekolah. Dengan menggabungkan Model Pembangunan Bakat Strategik (Rothwell, 2013), Model Pembelajaran Pementoran (Rhodes dan Fletcher, 2013) serta penglibatan menti secara aktif dalam Communities of Practice dalam satu kerangka teoretikal kajian, dapatan empirikal mendapati amalan pementoran berjaya menyumbangkan kepada proses pembangunan bakat pemimpin baharu dengan lebih berkesan. Keseluruhannya, kajian ini merungkai pengaruh amalan pementoran dalam membangunkan bakat kepemimpinan pemimpin baharu pendidikan dan kajian ini menyumbangkan secara terus kepada pelbagai pihak berkepentingan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Aminuddin Baki, sektor awam dan swasta dalam merencana dan merangka dasar berkaitan pelaksanaan operasi dan strategi program pembangunan bakat melalui proses pementoran. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu pembangunan bakat pemimpin baharu dalam pendidikan dan meningkatkan kesediaan mereka untuk terus memacu peningkatan mutu dan kualiti sistem pendidikan di Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Download File

[img] Text
FPP 2021 16 UPMIR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: School principals
Subject: Educational leadership
Subject: Mentoring in education
Call Number: FPP 2021 16
Chairman Supervisor: Profesor Ismi Arif bin Ismail, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 12 Oct 2022 07:41
Last Modified: 12 Oct 2022 07:41
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98856
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item