Citation
Hafiz Goh, Mohammad Adam Danial
(2021)
Peranan Modul ISRA, fungsi sosial dan prinsip pembangunan komuniti dalam kepulihan bekas klien di Kedah, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Agensi Antidadah Kebangsaan telah melancarkan Modul ISRA sebagai
instrumen holistik bagi rawatan dan pemulihan bekas penagih dadah melalui
kaedah mengubati masalah ketidakstabilan jiwa secara amalan kerohanian.
Kefungsian sosial dilihat penting terhadap kepulihan bekas klien ISRA dalam
komuniti. Selain itu, prinsip pembangunan komuniti turut berperanan terhadap
kepulihan bekas klien ISRA dalam komuniti. Menggunakan Teori Struktural-Fungsionalisme, komuniti bergerak sebagai satu sistem sosial dengan beberapa
subsistem yang saling berfungsi dan melengkapi antara satu sama lain. Oleh itu,
kajian ini bertujuan meneliti pandangan bekas klien dalam komuniti terhadap
keberkesanan Modul ISRA; mengenal pasti kefungsian sosial terhadap
kepulihan bekas klien dalam komuniti; dan menerangkan peranan prinsip
pembangunan komuniti terhadap kepulihan klien dalam komuniti. Kajian ini
dilaksanakan secara kualitatif menggunakan pendekatan exploratory. Kajian ini
menggunakan pensampelan bertujuan iaitu 16 orang informan telah terlibat
terdiri daripada bekas klien ISRA yang complient dan boleh terlibat diri dalam
temu bual. Pengumpulan data dilakukan secara temu bual mendalam
menggunakan pendekatan naturalistic inquiry atau constructionism di samping
Teknik Kumpulan Nominal (NGT) turut digunakan bagi memperoleh data primer.
Analisis tematik secara manual dilakukan terhadap data kajian bagi membentuk
tema dalam menilai kesemua objektif kajian. Hasil kajian menunjukkan, bekas
klien ISRA berpandangan, Modul ISRA dari segi kandungan, struktur, kaedah
pengajaran dan pembelajaran adalah sangat baik dalam membantu kepulihan
mereka. Dari segi kefungsian sosial, empat (4) institusi penting menyokong
kepulihan bekas klien dalam komuniti iaitu: (i) keluarga; (ii) komuniti; (iii) agama;
dan (iv) kerajaan. Kesemua institusi ini berperanan dalam memberi bantuan dan
dorongan supaya bekas klien kekal pulih. Dari segi prinsip pembangunan
komuniti, tiga (3) prinsip penting berperanan terhadap kepulihan bekas klien
dalam komuniti iaitu: (i) pembentukan jaya diri (self-help); (ii) penglibatan; dan
(iii) bantuan dan galakan kerajaan. Kajian ini merumuskan, bekas klien
memberikan pandangan positif terhadap keberkesanan Modul ISRA. Kefungsian sosial dan prinsip pembangunan komuniti juga memainkan peranan terhadap
kepulihan bekas klien ISRA dalam komuniti. Implikasi kajian ini mencadangkan,
sebarang dasar atau pembinaan modul pemulihan perlu berfokus kepada
keterlibatan persekitaran sosial klien bagi menyokong kepulihan klien secara
berterusan setelah mereka keluar pusat.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |