Citation
Ahmed, Mohd Taufik
(2020)
Bahasa antara dalam komunikasi kanak-kanak orang Asli.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Komunikasi merupakan proses sosial yang sangat penting dalam kehidupan kanakkanak
Orang Asli dan didapati mereka menggunakan pencampuran bahasa kerana sering
menghadapi masalah kekurangan kosa kata. Seiringan dengan itu, ketidaklancaran dalam
komunikasi ini menyebabkan berlakunya bahasa antara dalam komunikasi kanak-kanak
Orang Asli. Permasalahan penggunaan bahasa antara dalam komunikasi kanak-kanak
Orang Asli ini menuntut lebih perhatian oleh para penyelidik bagi mendapatkan
pemahaman dan rumusan yang tuntas. Kajian yang dijalankan ini merangkum tiga
objektif, iaitu mengenal pasti proses penghasilan bahasa antara dalam komunikasi
kanak-kanak Orang Asli, menganalisis bahasa antara dalam komunikasi kanak-kanak
Orang Asli dan seterusnya merumuskan pola bahasa antara dalam komunikasi kanakkanak
Orang Asli. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif berdasarkan kajian
lapangan, iaitu kaedah pemerhatian dan temu bual. Data kajian dianalisis berdasarkan
proses penghasilan bahasa antara yang menggunakan Teori Bahasa Antara Selinker
(1972). Kajian ini telah dilaksanakan ke atas 15 orang responden di tiga buah
perkampungan Orang Asli negeri Perak. Hasil kajian mendapati empat daripada lima
proses bahasa antara telah digunakan oleh responden. Dapatan kajian turut memaparkan
bahawa proses strategi komunikasi amat ketara digunakan, iaitu 562 penggunaan
berbanding dengan proses Pemindahan Bahasa, Pemindahan Latihan dan Strategi
Pembelajaran, manakala proses Generalisasi Terlampau didapati tidak digunakan
langsung. Keseluruhan bahasa antara yang dikenal pasti ialah 634 penggunaan. Lapan
elemen yang paling kerap digunakan ialah aspek Parafrasa, iaitu sebanyak 297
penggunaan, Penghampiran sebanyak 146 penggunaan, Pembentukan Kata sebanyak
121 penggunaan manakala Penghuraian mencakup sebanyak 30 penggunaan. Elemen
Penghampiran yang ditemukan mempunyai empat pola bunyi, iaitu suku kata “aiei”(
sungai – sungei), suku kata akhir yang mempunyai “ng – n”(cacing-cacig), suku kata
awal yang mempunyai huruf vokal “o-u”(bola-bula) dan pengguguran konsonan “b–
m”(timbul-timul). Kajian ini merumuskan bahawa terdapat empat faktor, iaitu
penggunaan aspek parafrasa, latar linguistik, sikap individu dan pengaruh ekonomi yang
menyebabkan pembentukan bahasa antara dalam komunikasi kanak-kanak Orang Asli.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |