Citation
Ombi, Kamarlin
(2019)
Variasi bahasa melayu masyarakat Sipitang, Sabah.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian yang bertujuan untuk meneliti variasi Bahasa Melayu dalam kalangan
masyarakat Sipitang di Sabah ini dilakukan kerana perbezaan sarjana
mengenai bahasa Melayu dialek Sabah, kerancuan bahasa dan perbezaan
kosa kata antara kaum. Secara umumnya, variasi bahasa Melayu dianalisis
menggunakan kerangka sifat leksikon, perubahan variasi bahasa Melayu
dianalisis berdasarkan Teori Substratum, seterusnya merumuskan hubungan
variasi bahasa Melayu dengan budaya setempat. Secara khususnya, tiga
objektif kajian iaitu mengenal pasti variasi bahasa Melayu masyarakat Sipitang
di Sabah, menganalisis perubahan yang mempengaruhi penggunaan variasi
bahasa Melayu di Sipitang, Sabah, dan merumuskan variasi bahasa Melayu
dan kaitannya dalam budaya setempat masyarakat Sipitang di Sabah.
Sampel kajian ialah kaum peribumi Sabah dari kaum Murut, Dusun, Bajau,
Brunei dan Kedayan yang bermastautin di daerah Sipitang. Kajian ini dilakukan
dengan menerapkan teori substratum (Aitchison, 2004) yang membahagikan
teori ini kepada lima prinsip umum iaitu, unsur asing, substratum lawan
pinjaman, prestij sosial dan keperluan fungsi. Kajian ini juga menggunakan
kerangka sifat leksikon Asma Haji Omar (2008) dengan memfokuskan
pembentukan leksem yang terdiri daripada bahasa standard, kata dialek, kata
pinjam dan kata ganda. Seterusnya kajian yang dijalankan secara lapangan ini
melibatkan seramai 40 responden yang terdiri daripada kaum di daerah
Sipitang. Memandangkan kebanyakan penutur kaum peribumi Sabah
menggunakan bahasa Melayu Sabah sebagai bahasa kedua, mereka
cenderung meminjam perkataan bahasa ibunda masing-masing. Perkara yang
paling ketara dalam kajian ini ialah variasi kawasan atau daerah kerana
kelainan penggunaan kata dan ungkapan-ungkapan tertentu dapat dikesan
daripada percakapan lima kaum yang dikaji. Seterusnya, hasil dari kajian ini
pengkaji mendapati responden daripada lima kaum di Sipitang merupakan
golongan yang sangat aktif untuk mencorak variasi bahasa Melayu Sabah.
Intipati kajian menunjukkan bahawa dialek Brunei dan Kedayan sangat
berpengaruh dalam leksikal bahasa Melayu Sabah. Bahasa Melayu kaum peribumi Sabah turut mencerminkan budaya dialek dalam perkataan-perkataan
yang mendukung makna berkaitan kepercayaan agama, idea ghaib, makanan,
objek dan amalan. Bahasa Melayu Sabah ialah cabang daripada vernakular
Melayu Brunei yang telah menerima pengaruh serantau dan berkembang
menjadi satu komunikasi antara kaum dengan ciri pijin.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |