Citation
Samsudin, Norhafifah
(2021)
Faktor peribadi, persekitaran dan intensiti pendidikan pengguna terhadap literasi undang-undang pengguna dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Literasi undang-undang pengguna bermaksud pengguna menyedari, mengetahui dan memahami tentang maklumat berkaitan undang-undang. Literasi ini merangkumi undang-undang tentang isu keselamatan pengguna, label ataupun logo, pembekalan barangan dan perkhidmatan, tanggungjawab pengguna dan mekanisma tebus rugi. Pelbagai isu pengguna telah timbul menunjukkan kelemahan pengguna sebagai pembeli dan ketamakan pemasar dengan mempergunakan kelemahan pengguna sebagai satu strategi pemasaran. Pelbagai program pendidikan pengguna telah dijalankan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Namun begitu, sejauhmana ia memberi kesan dalam mendidik pengguna masih menjadi persoalan sehingga kini. Oleh itu, kajian tentang literasi undang-undang pengguna sangat penting bagi memastikan pengguna tahu hak dan tangungjawab mereka. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengenal pasti faktor peramal yang mempengaruhi literasi undang-undang pengguna dalam kalangan pengguna di Malaysia seterusnya menentukan kesan pengantara intensiti pendidikan pengguna terhadap faktor peramal dan literasi undang-undang pengguna. Teori Sosial Kognitif dan Teori Aktiviti telah digunakan bagi pembentukan kerangka kajian. Kajian ini melibatkan kutipan data secara kuantitatif. Seramai 500 responden telah terlibat dalam kaji soal selidik ini yang dipilih secara persampelan rawak berperingkat yang dipilih mengikut zon di Malaysia iaitu zon utara, selatan, timur, barat dan Malaysia timur. Negeri yang terlibat adalah Perak, Johor, Kelantan, Selangor dan Sabah. Pengumpulan data kajian turut melibatkan responden di bandar dan luar bandar. Instrumen kajian ini merangkumi lapan bahagian iaitu bahagian demografi responden, literasi undang-undang, identiti diri, nilai, rakan,sistem pendidikan, intensiti pendidikan pengguna dan budaya. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 23, WINSTEP (Rasch) dan Analysis of Moment Structure (AMOS) versi 24. Bagi faktor identiti diri, rakan dan intensiti pendidikan pengguna berada di tahap sederhana. Manakala, untuk faktor nilai, budaya dan sistem pendidikan berada di tahap tinggi. Faktor peramal yang paling mempengaruhi literasi undang-undang ialah identiti diri (β= 1.310, C.R = 2.915, p = 0.004), sistem pendidikan (β = 1.338, C.R = 3.440, p = 0.000), budaya (β = 1.334, C.R = 1.985, p = 0.047) dan intensiti pendidikan pengguna ( β = 2.149, C.R = 2.119, p = 0.034). Faktor yang tidak mempengaruhi ialah nilai (β = 0.336, C.R = 0.212, p =0.113) dan rakan ( β = 0.133, C.R = 0.325, p = 0.745). Intensiti pendidikan pengguna, hanya merupakan faktor pengantara antara budaya dan literasi undang-undang pengguna. Model yang dibentuk menerangkan 23 peratus literasi undang-undang pengguna di Malaysia. Kajian ini dapat memberi implikasi kepada pengguna, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pemasar bagi menggubal dasar dan membentuk program kepenggunaan seperti menyemak kembali Dasar Pengguna Negara bagi memberi penekanan dalam aspek literasi undang-undang pengguna. Bagi program kepenggunaan, modul program yang dihasilkan dapat membantu pengguna mempunyai perlindungan kendiri yang mampu melindungi diri mereka sekiranya berhadapan dengan isu kepenggunaan. Satu sistem pendidikan yang teratur dan budaya di dalam sesuatu komuniti adalah perlu untuk meningkatkan literasi undang-undang pengguna dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Download File
Additional Metadata
Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
Subject: |
Consumer education - Malaysia |
Subject: |
Consumer behavior - Malaysia |
Subject: |
Consumer protection - Law and legislation - Malaysia |
Call Number: |
FEM 2021 6 |
Chairman Supervisor: |
Profesor Madya Elistina binti Abu Bakar, PhD |
Divisions: |
Faculty of Human Ecology |
Depositing User: |
Editor
|
Date Deposited: |
05 Sep 2022 03:09 |
Last Modified: |
05 Sep 2022 03:09 |
URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98433 |
Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
|
View Item |