Citation
Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat
(2011)
Pelajar pasca siswazah antarabangsa UPM meningkat.
[UPM News]
Abstract
SERDANG, 8 Feb- Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan pengambilan pelajar pasca siswazah antarabangsa iaitu seramai 432 pelajar pada semester kedua 2011/2012.
Jumlah tersebut meningkat 20 peratus kepada 86 pelajar berbanding sesi yang sama pada Disember tahun lalu.
Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata daripada jumlah pelajar yang mendaftar, 303 merupakan pelajar peringkat PhD dan selebihnya adalah pelajar peringkat sarjana.
Menurut beliau, pada masa kini sebanyak 2,535 pelajar antarabangsa sedang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD di UPM.
“Peningkatan ini membuktikan, UPM menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka di sini.
“Selain itu, perkembangan positif ini dilihat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan yang tersohor di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas majlis melafaz ikrar pelajar baharu di sini.
Pada majlis itu seramai 1,374 pelajar baharu pasca siswazah bagi semester kedua 2011/2012 melafaz ikrar sebagai simbolik memulakan pengajian di UPM.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Tai Shzee Yew.
Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah UPM, Prof. Dr. Bujang B. K. Huat berkata pelajar luar negara yang melanjutkan pengajian di UPM datang dari 30 negara termasuk Iran, Iraq, Canada, Cameroon, Syria, Nigeria, Yemen, Palestin, Somalia, Rusia, Tanzania, Bangladesh dan Indonesia.
Katanya, daripada jumlah tersebut Iran mencatatkan bilangan pelajar antarabangsa paling ramai diikuti Iraq, Nigeria dan Indonesia.
Sementara itu, pelajar antarabangsa yang ditemui berpendapat, UPM menjadi pilihan mereka kerana jurusan yang ditawarkan menepati kehendak pasaran kerja selain terkenal dengan taraf universiti penyelidikan.
Rata-rata berpuas hati dengan kemudahan kolej kediaman yang lengkap dan selesa ditambah dengan fasiliti makmal berteknologi tinggi yang menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut.
Bagi pelajar yang berasal dari Nigeria, Shehu Malami, 35, suasana pengajian di kampus yang kondusif serta keistimewaan persekitaran kampus membuatkan dia begitu selesa untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sains Komputer di sini.
“Selain itu, saya juga berminat untuk melanjutkan pengajian di UPM setelah membaca beberapa artikel mengenai keadaan negara ini yang permai dan dihuni pelbagai kaum,” katanya.
Seorang lagi pelajar antarabangsa dari Iran, Azitah Asadi, 32, berkata, dia memilih UPM disebabkan ramai rakan-rakan senegara yang pernah melanjutkankan pengajian di UPM mengesyorkan supaya dia memilih universiti itu.
“Lagi pun budaya masyarakat Melayu di Malaysia tidak banyak bezanya dengan budaya kami. Saya selesa berada di sini kerana masyarakat di sini peramah dan baik hati,” katanya yang mengambil PhD dalam bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi.
Download File
Preview |
|
PDF
Pelajar_pasca_siswazah_antarabangsa_UPM_meningkat.pdf
Download (130kB)
|
|
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |