Citation
Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat
(2010)
Pelajar UPM Sumbang Emas Pada Sukan Asia Guangzhou.
[UPM News]
Abstract
SERDANG, 16 Nov – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Chai Fong Ying (24), mengakhiri ‘kemarau’ emas negara apabila berjaya menghadiahkan pingat emas dalam acara wushu pada temasya sukan Asia Guangzhou.
Fong Ying yang merupakan salah seorang daripada 44 pelajar UPM yang menyertai temasya tersebut berjaya mengutip mata tertinggi dalam acara Taijiquan dan Taijijian dengan 19.36 mata menewaskan pencabar terdekat Miyaoka Ai dari Jepun (19.34) dan Men Ching Ni dari Taiwan (19.33).
Lebih membanggakan, kilauan emas pertama yang dihadiahkan Fong Ying meletakkan Malaysia di tangga ke lapan selepas terpaksa berpuas hati pada tangga ke-16 sebelum ini.
Beliau yang mempertahankan emas yang dimenanginya pada sukan Asia Doha empat tahun lalu berkata, kejayaan itu sangat bermakna baginya kerana selain menjadi emas pertama negara, ia adalah ganjaran hasil usaha keras menjalani latihan di Fangchou selama dua bulan.
“Saya berasa gembira menjadi atlet pertama yang menyumbang pingat emas untuk negara dan saya hadiahkan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga UPM,” kata pelajar Ijazah Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, kemenangan itu diharap menjadi pembakar semangat kepada 43 pelajar UPM lain yang turut sama menyertai kontinjen Malaysia.
“Saya berharap kemenangan ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk terus sama-sama menyumbang pingat buat Malaysia sekali gus mengharumkan nama universiti,” katanya.
Seramai 44 atlet UPM telah menyertai sukan Asia ke-16 di Guangzhou. Antara acara yang disertai mereka ialah memanah, olah raga, tenpin boling, krikit, lumba basikal, terjun, hoki, ragbi, pelayaran, menembak, skuasy, renang, renang berirama, taekwando dan wushu.
Download File
Preview |
|
PDF
Pelajar_UPM_Sumbang_Emas_Pada_Sukan_Asia_Guangzhou.pdf
Download (77kB)
|
|
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |