UPM Institutional Repository

Pengaruh semangat kekitaan dan penghayatan sejarah terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan dalam kalangan mahasiswa pelbagai etnik di institusi pengajian tinggi Malaysia


Citation

Mohd Tohar, Siti Nor Azhani (2016) Pengaruh semangat kekitaan dan penghayatan sejarah terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan dalam kalangan mahasiswa pelbagai etnik di institusi pengajian tinggi Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Ibnu Khaldun dalam karangan beliau Mukadimah, begitu menekankan faktor kekuatan ‘asabiyyah atau semangat kekitaan yang menjadi teras kepada kekuatan sesebuah tamadun. Walau bagaimanapun, semangat kekitaan ini mulai pudar apabila generasi muda tidak menghayati sepenuhnya sejarah tanah air sehingga mengabaikan nilai-nilai tradisi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, antaranya mengenai Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Justeru, satu kajian yang mendalam perlu dilaksanakan untuk, pertama) mengenal pasti tahap semangat kekitaan, penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan, kedua) menentukan perbezaan semangat kekitaan, penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan berdasarkan etnik, jenis Institut Pengajian Tinggi (IPT), bidang pengajian dan aliran pendidikan sekolah menengah, ketiga) menganalisis pengaruh semangat kekitaan dan penghayatan sejarah terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan, dan keempat) menganalisis faktor etnik yang bertindak sebagai moderator kepada hubungan antara semangat kekitaan dan penghayatan sejarah dengan pemartabatan bahasa kebangsaan. Kajian ini dijalankan secara kuantitatif melalui pengedaran borang soal selidik ke atas 432 mahasiswa Sarjana Muda di empat buah IPT yang terpilih secara rawak di kawasan Lembah Klang, iaitu UPM dan UM (dua dari IPTA) serta MMU dan UNISEL (dua dari IPTS). Walau bagaimanapun, hanya seramai 407 mahasiswa yang terlibat dalam penganalisisan setelah saringan data dijalankan bagi memenuhi syarat-syarat penganalisisan data empirikal. Pemilihan mahasiswa pula adalah berdasarkan kaedah Pensampelan Rawak Berstrata dengan mengambil kira nisbah stratifikasi populasi etnik di Malaysia (60:Melayu, 30:Cina dan 10:India). Dapatan kajian bagi objektif pertama menunjukkan bahawa tahap semangat kekitaan dalam kalangan mahasiswa pelbagai etnik di IPT adalah tinggi namun dimensi semangat berjuang dan sanggup berkorban demi negara di tahap yang sederhana. Demikian juga penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan hanya di tahap sederhana. Dapatan kajian objektif kedua pula mendapati bahawa wujud perbezaan semangat kekitaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan berdasarkan etnik. Selain itu, wujud juga perbezaan pemartabatan bahasa kebangsaan berdasarkan aliran pendidikan sekolah menengah. Seterusnya, dapatan kajian bagi objektif ketiga menunjukkan bahawa semangat kekitaan dan penghayatan sejarah mempengaruhi secara positif dan signifikan terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan. Walaupun demikian, dapatan kajian objektif keempat mendapati bahawa etnik tidak bertindak sebagai moderator bagi hubungan antara semangat kekitaan dan penghayatan sejarah dengan pemartabatan bahasa kebangsaan. Justeru, secara keseluruhannya, dapatan kajian memberi petunjuk bahawa senario pudarnya semangat berjuang serta berkorban, penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda pelbagai etnik di IPT ini tidak boleh dipandang ringan kerana semangat kekitaan dan penghayatan sejarah terbukti dapat memberi pengaruh terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan yang menjadi penentu kepada kekuatan tamadun Malaysia. Dalam konteks ini, perbincangan Teori Semangat Kekitaan Ibnu Khaldun yang dipelopori 600 tahun dahulu, didapati masih relevan untuk diaplikasikan dalam senario masa kini masyarakat multi etnik di Malaysia.


Download File

[img] Text
FEM 2016 45 - IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Malay language - Usage
Subject: Malay language
Call Number: FEM 2016 45
Chairman Supervisor: Adlina Ab. Halim, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 25 Jan 2022 02:38
Last Modified: 25 Jan 2022 02:38
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/91679
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item