Citation
Mohd Tohar, Siti Nor Azhani
(2016)
Pengaruh semangat kekitaan dan penghayatan sejarah terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan dalam kalangan mahasiswa pelbagai etnik di institusi pengajian tinggi Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Ibnu Khaldun dalam karangan beliau Mukadimah, begitu menekankan faktor kekuatan
‘asabiyyah atau semangat kekitaan yang menjadi teras kepada kekuatan sesebuah
tamadun. Walau bagaimanapun, semangat kekitaan ini mulai pudar apabila generasi
muda tidak menghayati sepenuhnya sejarah tanah air sehingga mengabaikan nilai-nilai
tradisi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, antaranya mengenai Perkara
152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Justeru, satu kajian yang mendalam
perlu dilaksanakan untuk, pertama) mengenal pasti tahap semangat kekitaan,
penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan, kedua) menentukan
perbezaan semangat kekitaan, penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa
kebangsaan berdasarkan etnik, jenis Institut Pengajian Tinggi (IPT), bidang pengajian
dan aliran pendidikan sekolah menengah, ketiga) menganalisis pengaruh semangat
kekitaan dan penghayatan sejarah terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan, dan
keempat) menganalisis faktor etnik yang bertindak sebagai moderator kepada
hubungan antara semangat kekitaan dan penghayatan sejarah dengan pemartabatan
bahasa kebangsaan. Kajian ini dijalankan secara kuantitatif melalui pengedaran borang
soal selidik ke atas 432 mahasiswa Sarjana Muda di empat buah IPT yang terpilih
secara rawak di kawasan Lembah Klang, iaitu UPM dan UM (dua dari IPTA) serta
MMU dan UNISEL (dua dari IPTS). Walau bagaimanapun, hanya seramai 407
mahasiswa yang terlibat dalam penganalisisan setelah saringan data dijalankan bagi
memenuhi syarat-syarat penganalisisan data empirikal. Pemilihan mahasiswa pula
adalah berdasarkan kaedah Pensampelan Rawak Berstrata dengan mengambil kira
nisbah stratifikasi populasi etnik di Malaysia (60:Melayu, 30:Cina dan 10:India).
Dapatan kajian bagi objektif pertama menunjukkan bahawa tahap semangat kekitaan
dalam kalangan mahasiswa pelbagai etnik di IPT adalah tinggi namun dimensi
semangat berjuang dan sanggup berkorban demi negara di tahap yang sederhana.
Demikian juga penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan hanya di tahap sederhana. Dapatan kajian objektif kedua pula mendapati bahawa wujud
perbezaan semangat kekitaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan berdasarkan etnik.
Selain itu, wujud juga perbezaan pemartabatan bahasa kebangsaan berdasarkan aliran
pendidikan sekolah menengah. Seterusnya, dapatan kajian bagi objektif ketiga
menunjukkan bahawa semangat kekitaan dan penghayatan sejarah mempengaruhi
secara positif dan signifikan terhadap pemartabatan bahasa kebangsaan. Walaupun
demikian, dapatan kajian objektif keempat mendapati bahawa etnik tidak bertindak
sebagai moderator bagi hubungan antara semangat kekitaan dan penghayatan sejarah
dengan pemartabatan bahasa kebangsaan. Justeru, secara keseluruhannya, dapatan
kajian memberi petunjuk bahawa senario pudarnya semangat berjuang serta berkorban,
penghayatan sejarah dan pemartabatan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi
muda pelbagai etnik di IPT ini tidak boleh dipandang ringan kerana semangat kekitaan
dan penghayatan sejarah terbukti dapat memberi pengaruh terhadap pemartabatan
bahasa kebangsaan yang menjadi penentu kepada kekuatan tamadun Malaysia. Dalam
konteks ini, perbincangan Teori Semangat Kekitaan Ibnu Khaldun yang dipelopori 600
tahun dahulu, didapati masih relevan untuk diaplikasikan dalam senario masa kini
masyarakat multi etnik di Malaysia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |