UPM Institutional Repository

Pembangunan kerangka penyoalan lisan dalam proses pengajaran matematik di sekolah rendah


Citation

Muhammad Sofwan, Mahmud (2020) Pembangunan kerangka penyoalan lisan dalam proses pengajaran matematik di sekolah rendah. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa tahap pencapaian pelajar dalam matematik masih rendah terutamanya dalam pentaksiran global seperti TIMSS dan PISA. Penyoalan lisan guru didapati membantu meningkatkan tahap pemikiran dan pemahaman pelajar terhadap konsep matematik yang dipelajari. Terlalu sedikit yang diketahui tentang sejauh mana guru matematik sekolah rendah melaksanakan penyoalan lisan dalam proses pengajaran matematik. Maka, kajian ini dijalankan untuk menghuraikan jenis soalan lisan, aras soalan lisan dan jenis maklum balas yang digunakan oleh guru baharu dan guru berpengalaman dalam proses pengajaran matematik di sekolah rendah serta faktor yang mempengaruhi maklum balas yang diberikan oleh guru terhadap respon pelajar. Dengan itu, suatu kerangka penyoalan lisan guru matematik sekolah rendah boleh dicadangkan. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian kes. Data diperoleh melalui kaedah pemerhatian, temu bual, analisis dokumen dan nota lapangan. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan kaedah analisis perbandingan berterusan bagi mendapatkan tema dan sub- tema yang terkandung di dalam data yang merupakan data primer. Pemilihan peserta kajian adalah secara pensampelan bertujuan iaitu seramai enam orang guru matematik sekolah rendah yang terdiri daripada tiga orang guru baharu dan tiga orang guru berpengalaman. Dapatan kajian mendapati bahawa guru berpengalaman mengajukan soalan lisan yang lebih banyak berbanding guru baharu dalam pengajaran matematik yang dilaksanakan. Terdapat dua kategori utama jenis soalan yang diajukan oleh guru dalam pengajaran matematik iaitu soalan lisan berkaitan isi kandungan pelajaran dan soalan lisan pengurusan pengajaran. Analisis data menunjukkan bahawa jenis soalan pengurusan pengajaran melengkapi penyoalan lisan berkaitan kandungan di mana gabungan kedua dua jenis soalan ini diperlukan dalam proses penyoalan lisan semasa pengajaran matematik. Penerokaan berkaitan aras soalan lisan yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran matematik mendapati guru baharu dan guru berpengalaman lebih memberi fokus kepada penyoalan lisan aras rendah dalam proses pengajaran matematik. Hasil kajian juga turut mengenal pasti cabaran pelaksanaan soalan lisan aras tinggi iaitu kekangan masa, bebanan tugas yang banyak, silibus matematik yang banyak, tahap kemampuan pelajar, penglibatan pelajar, serta latihan dalam perkhidmatan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka kurang memberi fokus kepada soalan lisan aras tinggi dalam proses pengajaran matematik. Seterusnya, dalam aspek memberi maklum balas terhadap respon pelajar semasa proses penyoalan lisan, didapati bahawa guru berpengalaman mengajukan lebih banyak maklum balas berbanding guru baharu. Guru baharu dan guru berpengalaman memberikan pelbagai jenis maklum balas terhadap respon pelajar dalam aktiviti penyoalan lisan semasa proses pengajaran matematik. Mereka menyatakan pelbagai faktor mempengaruhi maklum balas yang diberikan terhadap respon pelajar. Faktor tersebut ialah tahap kemampuan pelajar, respon pelajar semasa proses pengajaran, persekitaran, pengalaman mengajar, tahap pengetahuan guru, bebanan tugas serta kursus dan latihan dalam perkhidmatan. Kajian ini juga telah berjaya menghasilkan sebuah Kerangka Penyoalan Lisan Guru Matematik Sekolah Rendah yang menekankan aspek pelbagai jenis soalan lisan, soalan lisan pelbagai aras, maklum balas yang pelbagai, serta pelbagai faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam melaksanakan penyoalan lisan dalam pengajaran matematik. Penemuan ini adalah bersifat sugestif tetapi tidak dapat di generalisasikan kepada semua guru matematik sekolah rendah. Dicadangkan kajian kuantitatif boleh dilaksanakan yang melibatkan saiz sampel yang lebih besar. Selain itu, beberapa implikasi untuk proses pengajaran dibincangkan dan beberapa cadangan untuk penyelidikan selanjutnya adalah disyorkan.


Download File

[img] Text
IPM 2020 7 - IR.pdf

Download (729kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Mathematics - Study and teaching (Primary) - Malaysia
Subject: Problem solving - Study and teaching
Call Number: IPM 2020 7
Chairman Supervisor: Profesor Aida Suraya Md. Yunus, PhD
Divisions: Institute for Mathematical Research
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 01 Oct 2021 02:02
Last Modified: 01 Oct 2021 02:02
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/90881
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item