UPM Institutional Repository

Pengaruh konsep kendiri akademik sebagai moderator terhadap persekitaran dan strategi pembelajaran dengan kemahiran berfikir aras tinggi murid perakaunan


Citation

Jamaluddin, Nor Sa'adah (2020) Pengaruh konsep kendiri akademik sebagai moderator terhadap persekitaran dan strategi pembelajaran dengan kemahiran berfikir aras tinggi murid perakaunan. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Meskipun sumbangan dan peri pentingnya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kepada transformasi pendidikan dan ekonomi negara tidak dapat disangkal, pelbagai masalah dan kekangan masih wujud dalam memastikan kecemerlangan penguasaan KBAT dalam diri murid. Ini mengakibatkan isu KBAT terus diperbahaskan dari semasa ke semasa. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh konsep kendiri akademik sebagai moderator terhadap persekitaran dan strategi pembelajaran dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas (MPEI) Prinsip Perakaunan (PP) dalam kalangan murid tingkatan empat kelas perakaunan. Teori Efikasi Kendiri (Bandura, 1977) dan Model Taksonomi Bloom semakan Anderson (Anderson & Krathwohl, 2001) telah dijadikan sebagai asas kajian ini. Kajian ini menerima pakai pendekatan kuantitatif menggunakan ujian yang ditadbir dan survei manakala formula Cochran (1977) bagi penentuan saiz sampel telah digunakan untuk mengira saiz sampel kajian. Pengukuran statistic deskriptif telah digunakan untuk analisis data demografi dan juga untuk menentukan tahap konstruk yang digunakan dalam kajian ini. Pendekatan Model Persamaan Struktur (Structural Equation Modelling, SEM) digunakan untuk menguji hipotesis kajian dinyatakan. Sebelum penggunaan sepenuhnya model, penyelidik memastikan model memenuhi indeks ketepatan padanan yang boleh diterima: X² (CMIN) = 1553.435 (DF = 804), Relative X² (CMIN/DF) = 1.932, CFI = 0.895, IFI = 0.896, TLI = 0.888, dan RMSEA = 0.055. Analisis deskriptif kajian ini menunjukkan bahawa terdapat tahap pencapaian ujian KBAT yang baik dalam kalangan 309 responden sah dengan skor min 62.94. Tambahan lagi, analisis menggambarkan bahawa tahap persekitaran pembelajaran psikososial adalah tinggi pada skor min 4.20 (SP =0.486). Begitu juga, tahap pengamalan strategi pembelajaran dalam kalangan responden juga tinggi dengan skor min 3.72 (SP =0.625). Walau bagaimanapun, tahap faktor konsep kendiri akademik responden adalah sederhana dengan skor min 3.23 (SP = 0.871). Model persamaan struktur menunjukkan lima daripada enam faktor peramal tidak menyumbang secara signifikan kepada pencapaian KBAT murid: persekitaran pembelajaran psiksosial (β = 1.353, p = 0.477), pengurusan masa (β = -3.509, p = 0.319), penumpuan (β = 0.066, p = 0.981), sikap (β = -7.357 p = 0.108), dan kegelisahan (β = 4.415, p = 0.259). Namun, faktor motivasi telah menyumbang secara signifikan kepada pencapaian KBAT (β = 13.242, p = 0.030). Model struktur mendedahkan bahawa hubungan antara faktor-faktor persekitaran pembelajaran dan strategi pembelajaran adalah disederhanakan oleh konsep kendiri akademik dalam kajian ini dengan X² measurement residuals lebih besar daripada X² unconstrained berdasarkan model perbandingan output ΔX² (CMIN) = 299.445; Δdf = 106 ; p = .000. Oleh itu, kajian ini menunjukkan bahawa terdapat kehadiran kesan penyederhaan konsep kendiri akademik pada penentu pencapaian KBAT dalam keseluruhan model. Implikasi kajian ini menyumbang kepada pengukuran Teori Efikasi Kendiri (Bandura, 1977) dalam menentukan faktor luaran yang bertindak sebagai peramal terhadap penguasaan KBAT bagi MPEI PP dalam kalangan murid tingkatan empat kelas perakaunan. Dapatan kajian ini memberi panduan kepada para pendidik dan penggubal dasar dalam merancang sistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan sekaligus menyumbang kepada tercapainya hasrat menjadikan murid sebagai individu yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi melalui penguasaan KBAT yang baik dan cemerlang di samping merealisasikan hasrat yang disasarkan oleh Negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2013-2025). Selain itu, dapatan kajian ini juga boleh diguna pakai oleh para pendidik dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi pelbagai mata pelajaran yang lain. Beberapa cadangan turut dikemukakan bagi memastikan penguasaan KBAT murid dapat dipertingkatkan sekaligus menjadikan mereka individu yang mempunyai kemampuan daya saing yang tinggi bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat Antarabangsa.


Download File

[img] Text
FPP 2020 33 - IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Critical thinking
Subject: Thought and thinking
Subject: Problem solving
Call Number: FPP 2020 33
Chairman Supervisor: Profesor Madya Suhaida Abdul Kadir, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 21 Sep 2021 13:46
Last Modified: 21 Sep 2021 13:46
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/90765
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item