Citation
Mohamed, Hanis
(2020)
Hubungan antara motivasi intrinsik, penglibatan ibu bapa dan kompetensi pensyarah dengan kemahiran kebolehpasaran pelajar seni kulinari kolej vokasional.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kemahiran kebolehpasaran merupakan kemahiran yang menjadi pilihan majikan di
industri selain daripada kemahiran teknikal yang dimiliki graduan di sesebuah
institusi pendidikan awam mahupun swasta. Industri hospitaliti tidak terkecuali
daripada menerima rungutan majikan yang kurang berpuashati dengan pemerolehan
kemahiran kebolehpasaran graduan seni kulinari. Graduan seni kulinari dikatakan
mempunyai jumlah kompetensi kemahiran kebolehpasaran yang rendah. Masalah
majikan mendapatkan tenaga kerja yang berkemahiran kebolehpasaran sering kali
dikaitkan dengan isu pengangguran yang berlaku secara global. Sehubungan itu,
kajian berbentuk korelasi ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kemahiran
kebolehpasaran pelajar semester akhir program diploma vokasional Malaysia
(DVM) Seni Kulinari Kolej Vokasional yang akan menjalani On Job Training dan
memasuki dunia pekerjaan sebenar. Selain itu, kajian juga ingin melihat tahap
motivasi intrinsik pelajar, penglibatan ibu bapa dan kompetensi pensyarah daripada
persepsi pelajar dan hubungannya dengan kemahiran kebolehpasaran. Kajian ini
dijalankan di 16 buah kolej vokasional yang menawarkan program seni kulinari dan
melibatkan seramai 222 orang pelajar tahun akhir Diploma Vokasional Malaysia
(DVM). Sampel kajian dipilih secara rawak strata berkadaran dan rawak mudah.
Instrumen kajian mengandungi lima bahagian iaitu: a) demografi pelajar b) motivasi
intrinsik c) penglibatan ibu bapa d) kompetensi pensyarah dan e) elemen kemahiran
kebolehpasaran. Kajian korelasi ini menggunakan borang soal selidik berskala Likert
manakala data dikumpul dan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package
for the Social sciences (SPSS 25.0 for windows) untuk melihat kekerapan, peratusan,
min, korelasi pearson dan regrasi.
Hasil kajian menunjukkan tahap kemahiran kebolehpasaran pelajar berada pada
tahap yang sederhana. Wujudnya hubungan yang positif antara motivasi intrinsik, penglibatan ibu bapa dan kompetensi pensyarah dengan kemahiran kebolehpasaran.
Semua pemboleh ubah dalam kajian ini juga merupakan peramal signifikan kepada
tahap kemahiran kebolehpasaran di mana kompetensi pensyarah merupakan peramal
terbesar. Kajian ini diharapkan dapat memberikan gambaran sebenar tahap
penguasaan kemahiran kebolehpasaran pelajar program seni kulinari kolej
vokasional dan dijadikan rujukan kepada Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal &
Vokasional dalam usaha merangka kurikulum yang terbaik untuk pelajar-pelajar
kolej vokasional. Pelajar kolej vokasional perlu didedahkan dengan kemahiran
kebolehpasaran yang sangat dititikberatkan oleh majikan dalam pemilihan pekerja
untuk memastikan graduan kolej vokasional mudah diterima bekerja dan mampu
mengekalkan pekerjaan dalam tempoh yang lama. Pensyarah berperanan untuk
mengintegrasikan kemahiran kebolehpasaran dalam proses pembelajaran secara
efisien.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |