UPM Institutional Repository

Kesan faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan dalam penggunaan ICT di Pusat Komuniti Desa, Semenanjung Malaysia


Citation

Kamarudin, Syafila (2020) Kesan faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan dalam penggunaan ICT di Pusat Komuniti Desa, Semenanjung Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Aspek pembangunan kawasan luar bandar seperti penyediaan perkhidmatan ICT di Pusat Komuniti Desa menjadi salah satu agenda utama kerajaan dalam menjadikan kawasan luar bandar sebagai penyumbang kepada ekonomi negara. Bagi menggerakkan dan memajukan pembangunan di kawasan luar bandar ini, penyertaan masyarakat luar bandar adalah amat penting supaya kelangsungan ekonomi luar bandar tersebut dapat dijayakan. Namun, walaupun kemudahan ICT di pusat ini telah lama wujud, penyertaan masyarakat luar bandar untuk datang ke sana terutamanya menggunakan perkhidmatan ICT masih kurang mendapat sambutan. Didapati kemudahan ICT yang disediakan tidak digunakan secara meluas oleh masyarakat luar bandar. Secara umumnya, kajian ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan ICT di Pusat Komuniti Desa. Pemboleh ubah seperti faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan (pemboleh ubah bebas), niat tingkah laku (pemboleh ubah perantaraan), dan umur (pemboleh ubah penyederhanaan) telah diuji terhadap penggunaan ICT (pemboleh ubah bersandar) oleh masyarakat luar bandar. Satu rangka kerja konsep telah dibangunkan untuk menguji setiap konstruk pada faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan tersebut. Faktor persekitaran terdiri daripada lima konstruk utama iaitu jangkaan prestasi, jangkaan usaha, pengaruh sosial, keadaan kemudahan, dan kebolehcapaian. Bagi kualiti e-kerajaan pula, terdapat dua konstruk yang diuji iaitu kemudahan penggunaan dan kepercayaan. Kajian ini berpandukan kepada teori dan model iaitu Unified Theory of Acceptance and Use of Technology (UTAUT) dan Model Kualiti E-kerajaan (e-GovQual) bagi membina konstruk dalam faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan. Pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan menggunakan borang soal selidik telah digunakan. Seramai 400 orang responden di empat buah negeri telah dipilih menjadi responden kajian. Dalam menentukan lokasi dan subjek kajian, penyelidik menggunakan persampelan kluster pelbagai peringkat dan persampelan rawak sistematik. Analisis deskriptif menggunakan SPSS dijalankan bagi mengenal pasti nilai min, peratusan, dan sisihan piawai. Variance based-structural equation modeling (VB-SEM) juga telah digunakan untuk menganalisis data (menggunakan SmartPLS 3.0). Hasil kajian mencadangkan tiga hubungan langsung (iaitu, keadaan kemudahan terhadap penggunaan ICT, kepercayaan terhadap penggunaan ICT, dan niat tingkah laku terhadap penggunaan ICT) mempunyai pertalian positif dalam kajian ini. Selain itu, hasil kajian mendedahkan niat tingkah laku berperantara hubungan antara faktor persekitaran (jangkaan prestasi, jangkaan usaha, dan pengaruh sosial) terhadap penggunaan ICT. Dari segi umur (iaitu, Umur A dan Bukan-Umur A), hasil kajian ini mendapati bahawa umur penyederhana hubungan antara faktor persekitaran (iaitu, jangkaan usaha dan pengaruh sosial) terhadap niat tingkah laku, begitu juga faktor persekitaran (iaitu, keadaan kemudahan dan kebolehcapaian) terhadap penggunaan ICT. Melalui dapatan yang diperolehi, kesimpulan yang dapat dibentuk adalah penggunaan ICT oleh masyarakat luar bandar di Pusat Komuniti Desa banyak bergantung kepada faktor persekitaran dan faktor kualiti e-kerajaan. Dengan memiliki persekitaran yang memberangsangkan dan kualiti e-kerajaan yang baik melalui penggunaan laman sesawang kerajaan dapat menggalakkan mereka untuk datang ke Pusat Komuniti Desa menggunakan kemudahan yang ada di sana. Kajian ini juga memberikan sumbangan unik dengan membangunkan sebuah model iaitu Model Persekitaran Penggunaan Teknologi (MPPT) yang mana dapat menyumbang kepada kesusasteraan sedia ada dan menjadi rujukan untuk penyelidik akan datang dan juga para pelajar. Kajian ini turut menekankan beberapa implikasi dan cadangan untuk pembentukan dasar dan amalan ke arah peningkatan penyediaan perkhidmatan maklumat dan ICT di setiap telecenter di Malaysia.


Download File

[img] Text
IPSAS 2020 3 IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Rural development - Information services - Malaysia
Subject: Information services - Environmental aspects
Call Number: IPSAS 2020 3
Chairman Supervisor: Prof. Madya Siti Zobidah Omar, PhD
Divisions: Institute for Social Science Studies
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 06 Sep 2021 05:57
Last Modified: 06 Sep 2021 05:57
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/90711
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item