Citation
Kamarudin, Syafila
(2020)
Kesan faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan dalam penggunaan ICT di Pusat Komuniti Desa, Semenanjung Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Aspek pembangunan kawasan luar bandar seperti penyediaan perkhidmatan
ICT di Pusat Komuniti Desa menjadi salah satu agenda utama kerajaan dalam
menjadikan kawasan luar bandar sebagai penyumbang kepada ekonomi
negara. Bagi menggerakkan dan memajukan pembangunan di kawasan luar
bandar ini, penyertaan masyarakat luar bandar adalah amat penting supaya
kelangsungan ekonomi luar bandar tersebut dapat dijayakan. Namun, walaupun
kemudahan ICT di pusat ini telah lama wujud, penyertaan masyarakat luar
bandar untuk datang ke sana terutamanya menggunakan perkhidmatan ICT
masih kurang mendapat sambutan. Didapati kemudahan ICT yang disediakan
tidak digunakan secara meluas oleh masyarakat luar bandar. Secara umumnya,
kajian ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan ICT di Pusat Komuniti Desa.
Pemboleh ubah seperti faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan (pemboleh
ubah bebas), niat tingkah laku (pemboleh ubah perantaraan), dan umur
(pemboleh ubah penyederhanaan) telah diuji terhadap penggunaan ICT
(pemboleh ubah bersandar) oleh masyarakat luar bandar. Satu rangka kerja
konsep telah dibangunkan untuk menguji setiap konstruk pada faktor
persekitaran dan kualiti e-kerajaan tersebut. Faktor persekitaran terdiri daripada
lima konstruk utama iaitu jangkaan prestasi, jangkaan usaha, pengaruh sosial,
keadaan kemudahan, dan kebolehcapaian. Bagi kualiti e-kerajaan pula, terdapat
dua konstruk yang diuji iaitu kemudahan penggunaan dan kepercayaan. Kajian
ini berpandukan kepada teori dan model iaitu Unified Theory of Acceptance and
Use of Technology (UTAUT) dan Model Kualiti E-kerajaan (e-GovQual) bagi
membina konstruk dalam faktor persekitaran dan kualiti e-kerajaan. Pendekatan
kuantitatif melalui kaedah tinjauan menggunakan borang soal selidik telah
digunakan. Seramai 400 orang responden di empat buah negeri telah dipilih
menjadi responden kajian. Dalam menentukan lokasi dan subjek kajian,
penyelidik menggunakan persampelan kluster pelbagai peringkat dan
persampelan rawak sistematik. Analisis deskriptif menggunakan SPSS
dijalankan bagi mengenal pasti nilai min, peratusan, dan sisihan piawai. Variance based-structural equation modeling (VB-SEM) juga telah digunakan
untuk menganalisis data (menggunakan SmartPLS 3.0). Hasil kajian
mencadangkan tiga hubungan langsung (iaitu, keadaan kemudahan terhadap
penggunaan ICT, kepercayaan terhadap penggunaan ICT, dan niat tingkah laku
terhadap penggunaan ICT) mempunyai pertalian positif dalam kajian ini. Selain
itu, hasil kajian mendedahkan niat tingkah laku berperantara hubungan antara
faktor persekitaran (jangkaan prestasi, jangkaan usaha, dan pengaruh sosial)
terhadap penggunaan ICT. Dari segi umur (iaitu, Umur A dan Bukan-Umur A),
hasil kajian ini mendapati bahawa umur penyederhana hubungan antara faktor
persekitaran (iaitu, jangkaan usaha dan pengaruh sosial) terhadap niat tingkah
laku, begitu juga faktor persekitaran (iaitu, keadaan kemudahan dan
kebolehcapaian) terhadap penggunaan ICT. Melalui dapatan yang diperolehi,
kesimpulan yang dapat dibentuk adalah penggunaan ICT oleh masyarakat luar
bandar di Pusat Komuniti Desa banyak bergantung kepada faktor persekitaran
dan faktor kualiti e-kerajaan. Dengan memiliki persekitaran yang
memberangsangkan dan kualiti e-kerajaan yang baik melalui penggunaan
laman sesawang kerajaan dapat menggalakkan mereka untuk datang ke Pusat
Komuniti Desa menggunakan kemudahan yang ada di sana. Kajian ini juga
memberikan sumbangan unik dengan membangunkan sebuah model iaitu
Model Persekitaran Penggunaan Teknologi (MPPT) yang mana dapat
menyumbang kepada kesusasteraan sedia ada dan menjadi rujukan untuk
penyelidik akan datang dan juga para pelajar. Kajian ini turut menekankan
beberapa implikasi dan cadangan untuk pembentukan dasar dan amalan ke
arah peningkatan penyediaan perkhidmatan maklumat dan ICT di setiap
telecenter di Malaysia.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |