Citation
Sulaiman, Sumaiyah
(2020)
Pembangunan modul pembelajaran kemahiran menulis bahasa Arab berasaskan regulasi kendiri dalam kalangan pelajar institut pendidikan guru di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Sorotan kajian yang pernah dijalankan di Malaysia mendapati bahawa kemahiran
menulis bahasa Arab bagi pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) masih belum
mencapai tahap yang memuaskan. Malah, bahan pembelajaran yang ada lebih
memberikan tumpuan pada pembelajaran dalam bilik kuliah dan kurang bercirikan
pembelajaran kendiri. Seiringan dengan itu, kajian ini bertujuan membangunkan
modul pembelajaran kemahiran menulis bahasa Arab (TZ Kitabiy) berasaskan
regulasi kendiri yang direka khusus untuk pelajar IPG. Modul ini dibangunkan
dengan tujuan menyediakan bahan sokongan pembelajaran kendiri kemahiran
menulis bagi pelajar. Kajian ini menggunakan pendekatan Reka Bentuk dan
Pembangunan yang melibatkan tiga fasa, iaitu (1) Fasa Analisis Keperluan, (2)
Fasa Reka bentuk dan Pembangunan, dan (3) Fasa Pelaksanaan dan Penilaian.
Temu bual separa berstruktur telah digunakan dalam Fasa Analisis Keperluan yang
melibatkan enam (6) orang pelajar dan lima (5) orang pensyarah dengan kaedah
pensampelan bertujuan bagi mendapatkan input tentang keperluan pembangunan
modul. Data yang diperoleh dianalisis secara tematik melalui perisian ATLAS.ti,
Versi 8. Dapatan kajian menyarankan wujudnya keperluan terhadap pembangunan
modul kemahiran menulis bahasa Arab bagi pelajar di Institut Pendidikan Guru.
Dapatan ini juga digunakan dalam fasa kedua; iaitu Reka Bentuk dan
Pembangunan untuk menentukan elemen yang perlu dimasukkan dalam modul.
Data bagi fasa kedua ini diperoleh daripada 14 orang panel pakar dalam bidang
bahasa Arab dan pembangunan kurikulum, yang dianalisis melalui teknik Fuzzy
Delphi. Item-item yang mencapai konsensus pakar bersama dengan nilai ambang
„d‟ = 0.2 melebihi 75% telah dimasukkan ke dalam modul. Modul ini kemudiannya
telah dinilai oleh enam (6) orang pakar bagi mendapatkan kesahan kandungan.
Seterusnya, kebolehgunaan modul ini diuji dalam Fasa Pelaksanaan dan Penilaian
yang melibatkan 47 orang pelajar dari IPG Kampus Pendidikan Islam. Penilaian
kebolehgunaan diperoleh melalui soal selidik kebolehgunaan dan kepuasan
pengguna. Tahap kebolehgunaan modul adalah tinggi; iaitu min keseluruhan 4.50, dengan sisihan piawai 0.57. Natijahnya, kajian ini telah menghasilkan modul
kemahiran menulis dengan tahap kebolehgunaan yang tinggi yang dinamakan TZ
Kitabiy. Modul TZ Kitabiy kini tersedia untuk digunakan oleh pelajar di IPG
sebagai bahan sokongan dalam pembelajaran kemahiran menulis bahasa Arab yang
berasaskan regulasi kendiri.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |