Citation
Arifin, Suhaili
(2020)
Pengaruh faktor perhubungan penyeliaan dan proses penilaian terhadap kompetensi kaunseling dalam kalangan kaunselor pelatih di universiti awam Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Faktor perhubungan penyeliaan dan faktor proses penilaian merupakan dua
komponen penting yang boleh mempengaruhi kompetensi kaunselor pelatih dalam
penyeliaan. Justeru itu, kajian ini dilaksanakan bertujuan mengenal pasti perkaitan
dan pengaruh faktor perhubungan penyeliaan (kebimbangan, kompleksiti kognitif,
konflik peranan, dan kekaburan peranan) dan faktor proses penilaian (penetapan
matlamat dan maklum balas) terhadap kompetensi kaunselor pelatih dalam proses
penyeliaan. Reka bentuk kajian ini adalah jenis korelasi. Terdapat dua populasi
terlibat dalam kajian ini iaitu kaunselor pelatih dan pensyarah penyelia daripada
sembilan universiti awam Malaysia.
Responden dipilih menggunakan teknik rawak berstrata dengan jumlah sampel
kaunselor pelatih (n=217), dan pensyarah penyelia (n=67). Dua set instrumen
disediakan berasingan untuk diedarkan kepada kaunselor pelatih dan pensyarah
penyelia. Set kaunselor pelatih terdiri daripada maklumat demografi, Anticipatory
Supervisee Anxiety Scale, Need for Cognition Scale, Roles Conflict and Roles
Ambiguity Inventory, dan Evaluation Process in Supervision Inventory. Sementara
set pensyarah penyelia mengandungi maklumat demografi dan Counseling
Competencies Scale. Dapatan analisis Pearson’s Product-Moment Coefficient
menunjukkan kesemua pemboleh ubah bebas dalam kajian ini mempunyai hubungan
signifikan dengan kompetensi kaunselor pelatih. Sementara analisis Multiple Linear
Regression menunjukkan kedua-dua faktor mempengaruhi kompetensi kaunselor
pelatih dalam penyeliaan secara signifikan iaitu kebimbangan, kompleksiti kognitif,
dan kekaburan peranan, penetapan matlamat dan maklum balas .
Keseluruhannya boleh dirumuskan dapatan kajian menunjukkan kedua-dua faktor
iaitu perhubungan penyeliaan dan faktor proses penilaian menyumbang terhadap
kompetensi kaunseling kaunselor pelatih dalam penyeliaan. Sehubungan itu, dapatan kajian ini boleh dijadikan sebagai satu panduan kepada pendidik kaunselor tentang
keperluan kedua-dua faktor ini diberi tumpuan dalam kurikukum dan proses
penyeliaan. Dapatan kajian juga boleh dijadikan sumber tambahan kepada Lembaga
Kaunselor dan Malaysia Qualification Accreditation terhadap kepentingan
kompetensi kaunseling dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam bidang
pendidikan dan latihan kaunseling di negara ini. Berdasarkan kajian ini, dicadangkan
agar kajian lanjutan dapat dijalankan dengan kolaborasi bersama penyelia agensi.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |