Citation
Idris, Ab Latip
(1992)
Hubungan Antara Minat Membaca Dengan Pencapaian Bacaan Mekanis di Kalangan Murid Tahun Tiga: Satu Kajian Kes.
Masters thesis, Universiti Pertanian Malaysia.
Abstract
Satu kajian tentang pencapaian bacaan di peringkat awal perlu
dijalankan memandangkan masih ramai murid sekolah rendah perantaraan
Bahasa Malaysia gagal dalam kertas pemahaman Bahasa Malaysia Ujian
Penilaian Sekolah Rendah. Oleh itu, tujuan kajian ini ialah untuk mengukur
pencapaian murid-murid Tahun Tiga dalam penguasaan bacaan mekanis dan
hubungannya dengan minat membaca.
Subjek kajian terdiri daripada 177 orang murid Melayu, lelaki dan
perempuan dari Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit
Baru, Melaka.
Empat kaedah digunakan untuk mengumpulkan data, iaitu bahan
ujian, soal selidik, pemerhatian dan temu bual. Bahan ujian yang digunakan
untuk mendapatkan skor pencapaian bacaan mekanis berupa petikan bacaan
dan soalan-soalan pemahaman. Borang soal selidik digunakan untuk
mendapatkan maklumat tentang profil murid, kegiatan dan minat membaca.Pemerhatian dilakukan untuk mencatatkan tingkah laku murid semasa
membaca. Teknik temu bual digunakan untuk mendapatkan maklumat
lanjutan berkaitan dengan murid pencapaian tinggi dan rendah.
Untuk menentukan pencapaian bacaan mekanis, penyelidik menggunakan
dua kriteria, iaitu penyebutan dan pemahaman. Empat pembolehubah
bebas digunakan, iaitu umur, jantina, status sosioekonomi dan minat
membaca.
Data dianalisis dengan menggunakan analisis univariat, bivariat dan
multivariat. Teknik deskriptif dan analitikal digunakan untuk tujuan tersebut.
Keputusan kajian menunjukkan minat membaca mempunyai
hubungan yang signifikan dengan pencapaian bacaan mekanis. Kebanyakan
murid tergolong dalam peringkat minat membaca sederhana. Murid daripada
kumpulan status sosioekonomi lebih tinggi memperoleh skor minat membaca
dan skor pencapaian bacaan mekanis yang lebih tinggi berbanding dengan
mereka yang datang daripada kumpulan status sosioekonomi lebih rendah.
Pencapaian murid dalam bahagian penyebutan lebih baik daripada bahagian
pemahaman. Kebanyakan murid berada pada tahap bacaan pengajaran.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |