Citation
Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat
(2010)
UPM Perkenal Rumah Hijau Transgenik Bertaraf Antarabangsa.
[UPM News]
Abstract
SERDANG, 13 Disember - Dalam usaha mengembangkan penyelidikan tumbuhan transgenik, Universiti Putra Malaysia (UPM) kini memperkenalkan rumah hijau yang dilengkapi fasiliti bertaraf antarabangsa iaitu Rumah Hijau Transgenik (RHT).
Rumah hijau itu bertujuan memberi kemudahan kepada penyelidik UPM melakukan kajian yang lebih mendalam mengenai teknologi transgenik selain menarik agensi penyelidikan luar menjalinkan kerjasama dengan UPM dalam bidang tersebut.
Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, RHT itu diharap dapat membantu penyelidik UPM menghasilkan produk baharu termasuk tumbuhan dan buah-buahan yang bermutu tinggi.
“Usaha seterusnya ialah memastikan fasiliti ini dapat diuruskan dengan cekap dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyelidik UPM. Fasiliti ini juga boleh menjadi sumber rujukan di peringkat kebangsaan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian RHT dan Seminar Aplikasi Teknologi Transgenik Dalam Pertanian anjuran Labarotari Tanaman Perladangan, Institut Pertanian Tropika (ITA), UPM.
Ucapan tersebut dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi) UPM, Prof. Dato’ Dr. Abu Bakar Salleh.
Nik Mustapha berkata, pembinaan RHT memakan masa selama 40 minggu dengan kos sebanyak RM5 juta serta memenuhi spesifikasi antarabangsa bio-keselamatan tahap dua.
Menurutnya, bahagian rumah hijau berkeluasan 252 meter persegi itu mempunyai dua bilik bersuhu ambien yang dikelilingi dawai keluli tahan karat dan satu bilik bersuhu sejuk berdinding polikarbonat selain dilengkapi dengan bilik pentadbiran dan bilik mesyuarat.
Teknologi transgenik adalah penghasilan tumbuhan transgenik melibatkan kemasukan gen asing atau bahan genetik yang telah dimanipulasikan ke dalam sel tumbuhan yang seterusnya menjalani proses penjanaan semula untuk penghasilan tumbuhan baru.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |