Citation
Mohd Hakim, Siti Rasidah
(2018)
Variasi lafaz Munâdâ dalam wacana Nidâ’ Nabi Muhammad SAW dalam Al-Quran.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak penggunaan ayat nidā’ atau ayat seruan yang
ditujukan kepada individu tertentu, antaranya ayat nidā’ kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh
itu, kajian ini bertujuan membincangkan variasi lafaz munādā dalam wacana nidā’ yang ditujukan
kepada Nabi Muhammad SAW dalam al-Quran. Ayat nidā’ merupakan gaya bahasa penting yang
mendapat perhatian dalam kajian sarjana nahu dan balaghah Arab terdahulu. Ia sejajar dengan
penggunaannya yang banyak dalam al-Quran dan terdapat dalam setiap juzuk serta dalam kebanyakan
surah. Dua unsur utama yang dibincangkan dalam ayat nidā’ ialah kata seruan (‘adāṭ al-nidā’)
dan orang atau perkara yang diseru (munādā). Nidā’ kepada Nabi Muhammad SAW dalam
al-Quran menggunakan pelbagai lafaz munādā, iaitu al-Nabīy (النبي), al-Rasūl (أَلْرَّسُولُ), al-Muzzammil (المزمل), al-Muddaththir (ٱلْمُدَّثِّر) dan alladhī Nuzzila ‘alayh al-Dhikr ( نُزِّلَ عليه الذكر ٱلَّذِى). Penggunaan variasi lafaz munādā dalam ayat nidā’ al-Quran
yang ditujukan kepada munādā yang sama menjadi persoalan yang perlu dirungkai. Selain itu, faktor dan
unsur yang mempengaruhi penggunaannya juga menjadi aspek persoalan yang perlu dijelaskan. Oleh
itu, aspek konteks situasi dan konteks bahasa dikenal pasti dapat membuktikan kesesuaian
penggunaan variasi lafaz munādā. Kedua-dua konteks ini memainkan peranan penting dalam memahami
sesebuah teks. Tanpa kedua-duanya, mesej teks tersebut sukar untuk disampaikan kerana tidak
berhubung antara satu sama lain. Teks al-Quran ialah sebuah teks yang ulung dan sudah teruji
menelusuri zaman dan dekad. Selain itu, al-Quran menjadi teks panduan dan pedoman kepada setiap
muslim. Oleh itu, kajian teks al-Quran berdasarkan kedua-dua konteks ini adalah penting untuk
memastikan panduan dan pedoman itu kekal dan tidak terpesong. Justeru, objektif kajian ini
adalah untuk mengenal pasti variasi lafaz munādā dalam wacana nidā’ Nabi Muhammad SAW dalam
al-Quran, menganalisis variasi lafaz munādā berdasarkan konteks situasi dan bahasa dalam
wacana nidā’ Nabi Muhammad SAW, dan merumuskan perkaitan penggunaan variasi lafaz
munādā dengan konteks situasi dan bahasa dalam wacana nidā’ Nabi Muhammad SAW. Kaedah kualitatif sepenuhnya digunakan dalam kajian ini, iaitu kaedah
analisis kandungan. Tujuh belas ayat nidā’ Nabi Muhammad SAW yang menggunakan pelbagai lafaz munādā
dipilih sebagai sampel kajian dan dianalisis berdasarkan unsur konteks situasi dan konteks bahasa
menggunakan “Teori Semiotik Sosial” Halliday (1978) dan “Teori Kohesi” Halliday (1976).
Dapatan kajian menunjukkan penggunaan variasi lafaz munādā untuk Nabi Muhammad SAW
dipengaruhi oleh aspek konteks situasi terutamanya aspek isu dalam unsur medan wacana. Sebagai
contoh, lafaz munādā al-Rasūl digunakan dalam isu menyampaikan risalah umum secara keseluruhannya
kepada orang kafir, Yahudi dan munafik, seperti pelaksanaan hukuman dan syariat. Hal ini
berbeza dengan lafaz al-Nabīy, yang digunakan dalam isu menyampaikan risalah khusus
yang melingkari kehidupan orang yang beriman seperti peperangan, isu tanggungjawab
Nabi SAW sendiri, dan isu kekeluargaan. Manakala aspek kohesi bahasa menyokong dapatan
tersebut terutamanya berdasarkan perkaitan leksikal. Perkaitan leksikal menunjukkan setiap
leksikal dalam ayat nidā’ dihubungkan dengan penggunaan setiap lafaz munādā Nabi Muhammad SAW sama
ada dengan perkaitan bahasa secara langsung ataupun
tidak langsung.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |