Citation
Mohd Zain, Zarina
(2019)
Politik birokrasi dalam pelaksanaan projek perumahan di negeri terpilih di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Permintaan terhadap perumahan semakin hari semakin meningkat memandangkan rumah adalah
keperluan asas bagi setiap manusia. Namun, isu berkaitan perumahan seringkali menjadi
halangan kepada rakyat untuk memiliki aset ini. Banyak kajian dibuat terhadap sektor perumahan yang
menjurus kepada isu berkaitan pemajuan projek seperti projek terbengkalai, lewat atau sakit. Namun
kajian terhadap proses awal pemajuan amat terhad seperti isu yang melibatkan kelewatan pemaju
dalam mendapatkan kelulusan pemajuan sebelum projek dimulakan. Faktor kelewatan tersebut adalah
disebabkan oleh pentadbir yang bertindak atas kepentingan sendiri dengan cara politik atau
disebut sebagai politik birokrasi. Hal ini berlaku kerana wujud pengaruh politik dalam proses
mendapatkan kelulusan projek selain dari masalah prosedur yang rumit dan
membebankan. Walau bagaimanapun, kajian mengenai punca kepada berlakunya faktor tersebut amat
jarang dilakukan. Jadi, matlamat kajian ini adalah untuk mengenalpasti punca berlaku politik
birokrasi semasa proses awal pemajuan projek perumahan. Selain itu, objektif kajian ini turut
meneroka elemen yang dilihat dapat memperkukuhkan lagi pernyataan bahawa politik birokrasi
berlaku dan seterusnya menilai kesan pengaruh politik birokrasi ini kepada pemajuan projek
serta kepada pelaksanaan Dasar Perumahan Negara. Kajian ini bersifat kajian kes yang melibatkan
lima negeri terpilih berdasarkan kepada statistik projek perumahan bermasalah 2016. Kajian
melibatkan sepuluh orang informan yang dipilih secara bertujuan dengan menggunakan kaedah temu bual
secara separa struktur. Kesemua informan dipilih kerana mempunyai pengalaman dan terlibat secara
langsung dalam keseluruhan proses awal yang mampu mengulas tentang politik birokrasi dalam
pentadbiran pengurusan projek perumahan. Mereka terdiri daripada pegawai yang mewakili tiga
tingkat kerajaan iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Maklumbalas
yang diterima membuktikan bahawa politik birokrasi berpunca akibat campur tangan pemimpin
atau parti politik dalam urusan pentadbiran. Ini berpunca apabila ada antara pentadbir dilantik
oleh parti politik seperti ahli majlis kerajaan tempatan. Begitu juga di kalangan pegawai
peringkat negeri dan jabatan di peringkat kementerian kerana mereka ini juga dilantik atas kapasiti
politik. Hal ini disokong oleh dapatan kajian yang membuktikan bahawa situasi politik birokrasi wujud
disebabkan kepelbagaian pentadbir yang terdiri daripada kumpulan profesional dan kumpulan yang
dilantik oleh pemimpin politik ke dalam agensi pentadbiran. Selain itu, pengaruh kuasa turut
mempengaruhi pentadbir yang menyebabkan konflik kepentingan berlaku semasa membuat
keputusan berkaitan pemajuan projek perumahan. Akibatnya keputusan yang dibuat adalah
berdasarkan konsep tawar-menawar. Situasi begini merupakan penyebab kepada kelemahan proses
penyelarasan akibat daripada perbezaan ideologi politik antara pentadbir dan antara
tingkat kerajaan yang berbeza pentadbiran. Kesemua elemen ini telah meningkatkan konflik
individu semasa proses pembuatan keputusan melibatkan pemajuan projek perumahan dan secara tidak
langsung memberi kesan kepada kegagalan pemaju untuk memulakan projek. Keadaan ini
seterusnya merencatkan pelaksanaan dasar perumahan bagi mencapai matlamat untuk menyediakan rumah
yang mencukupi, selesa dan mampu dimiliki. Dalam menghadapi situasi tersebut, dicadangkan agar
kerajaan meneliti perlantikan pentadbir supaya tidak dipengaruhi politik seterusnya menyediakan
satu prosedur yang boleh digunakan oleh setiap pentadbir baik di peringkat kementerian mahupun
kerajaan negeri dan tempatan. Perbincangan harus dibuat dalam mematuhi prosedur tersebut dan
sekiranya tidak dipatuhi, maka sesiapa yang berkenaan perlu diambil tindakan sewajarnya. Hal ini
bagi
mengelakkan projek pemajuan perumahan terus terjejas.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |