Citation
Wan Mokhtar, Wan Khairulhusna
(2018)
Tipologi keterancaman dialek Melayu Patani dari perspektif etnolinguistik.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pengkajian berkaitan keterancaman sesuatu bahasa atau dialek minoriti di Malaysia semakin menjadi
tumpuan para sarjana kerana kesedaran bahawa dialek-dialek tersebut merupakan salah satu
daripada khazanah negara. Dialek Melayu Patani yang dituturkan oleh masyarakat Melayu
Patani juga tidak terkecuali dari permasalahan berkaitan keterancaman akibat pertembungan
bahasa dan pengaruh bahasa luar. Satu kajian lapangan untuk meneliti dialek Melayu Patani
telah dijalankan di dua buah lokasi kajian iaitu Kampung Chepir mewakili Sik Kedah dan
Kampung Kuak Hulu pula mewakili Pengkalan Hulu, Perak dengan responden seramai 150 orang bagi
setiap lokasi. Kedua-dua lokasi tersebut adalah di bahagian pedalaman yang paling hulu.
Objektif pertama kajian adalah menganalisis aspek fonologi dan leksikal dialek Melayu
Patani di Kedah dan Perak. Objektif kedua pula adalah menilai sikap masyarakat Melayu Patani
di Kedah dan Perak terhadap pemilihan dialek Melayu Patani berdasarkan mandala-mandala
tertentu. Objektif ketiga adalah menghuraikan tipologi keterancaman dialek Melayu Patani di Kedah
dan Perak. Pendekatan etnolinguistik yang menjadi dasar kepada kajian,
berkepentingan untuk menilai sikap dan pemilihan bahasa masyarakat Melayu Patani. Bagi
menjelaskan objektif-objektif kajian, pendekatan etnolinguistik adalah berdasarkan tiga kerangka
teori iaitu teori domain atau mandala, teori fonetik struktural dan teori tipologi
keterancaman bahasa. Pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif digunakan bagi
memperoleh data melalui kaedah kepustakaan dan kajian lapangan yang membabitkan teknik
rakaman, teknik temu bual, teknik soal selidik, teknik pemerhatian, dan teknik lafaz.
Hasil dapatan mendapati masyarakat Melayu Patani di kedua-dua lokasi kajian
berjaya menunjukkan sifat positif etnosentrik dan antusiasme yang tinggi dalam
memartabatkan bahasa ibunda mereka. Situasi ini terbukti apabila dialek Melayu Patani masih
dalam keadaan selamat walaupun terdapat pertembungan bahasa. Selain itu, pendokumentasian kosa kata dialek Melayu Patani membuktikan dialek Hulu dan dialek
Kuak Hulu yang digelar oleh masyarakat Melayu Patani sebenarnya adalah dialek
Melayu Patani. Ini dibuktikan dengan melihat kekerabatan bahasa antara
kedua-duanya. Hubungan kekeluargaan yang diterapkandalam kelompok masyarakat mereka mampu
melestarikandialek Melayu Patani sehingga berabad lamanya. Selagi masyarakat Melayu
Patani terus menggunakan bahasa ibunda mereka dengan rasa bangga, selagi itu bahasa
akan hidup selamanya. Kebergantungan ini berbalik kepada sikap penutur sendiri sama ada akan terus
menggunakannya atau melupakan bahasa nenek moyang mereka.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |