UPM Institutional Repository

Tahaluf Siyasi Parti Islam Se-Malaysia dalam politik Malaysia dari tahun 1973-2015


Citation

Mohd Isa, Nur Ayuni (2019) Tahaluf Siyasi Parti Islam Se-Malaysia dalam politik Malaysia dari tahun 1973-2015. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini mengkaji Tahaluf Siyasi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap kerjasama politik di Malaysia. Hujah utama tesis ini adalah; Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang mengamalkan sistem pelbagai parti yang mana tiada satu parti pun mampu untuk membentuk kerajaan pemerintah secara bersendirian. Oleh itu, parti-parti politik memerlukan kerjasama politik untuk membentuk kerajaan pemerintah. Penyertaan PAS dalam menjalin kerjasama politik juga tidak terkecuali dengan memperkenalkan konsep Tahaluf Siyasi. PAS telah menjalinkan kerjasama politik dengan pelbagai parti yang berbeza dasar dan latar belakang sebanyak lima (5) kali bermula dengan Barisan Nasional (BN), Harakah Keadilan Rakyat (HAK) Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), dan Pakatan Rakyat (PR) dari tahun 1973 hingga 2015. Oleh itu, terdapat empat persoalan kajian iaitu; i) apakah elemen yang terdapat dalam Tahaluf Siyasi PAS, ii) apakah sejarah kerjasama politik PAS dengan parti-parti politik yang lain? iii) apakah pengaruh pembentukan kerjasama politik PAS dengan parti-parti politik lain? iv) apakah pengaruh pembubaran kerjasama politik PAS dengan parti-parti politik lain? Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif. Kaedah analisis kandungan dan analisis perbandingan digunakan hasil daripada data temu bual mendalam dengan pemimpin utama PAS, United Malays National Organisation (UMNO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Democratic Action Party (DAP) dan teks-teks Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan dari tahun 1973 hingga 2015. Kajian ini telah mengaplikasikan teori tingkahlaku parti politik yang mana sesebuah parti politik akan bertindak berasaskan, kepentingan dasar partinya, jawatan dan kuasa serta juga perkara yang boleh meningkatkan jumlah undi dalam menjelaskan proses, pengaruh terhadap tindakan pembentukan dan pembubaran kerjasama politik PAS. Teori Sosiologi juga diaplikasikan dengan memberi fokus kepada agama, etnik, perubahan masyarakat massa yang mempunyai kaitan rapat dengan tindakan politik pemimpin dalam sesebuah parti. Dapatan kajian ini menunjukkan Tahaluf Siyasi PAS secara umumnya membawa maksud diplomasi politik, kompromi politik, kerjasama politik, koalisi politik, pakatan politik dan integrasi politik. Tahaluf Siyasi merupakan panduan yang terdiri daripada syarat-syarat dan prinsipnya untuk PAS mengadakan kerjasama dengan parti politik lain. Proses kerjasama politik PAS mempunyai empat peringkat iaitu; i) mengadakan rundingan di dalam parti, ii) mengadakan rundingan dengan parti lain yang ingin membentuk kerjasama, iii) membuat dua pertimbangan utama iaitu pertimbangan dasar (hukum) dan juga pertimbangan politik, iv) membuat keputusan dan tindakan, sama ada PAS bersetuju untuk membentuk kerjasama, mengekal kerjasama sedia ada, dan jika PAS tidak bersetuju, maka PAS akan kekal bersendirian atau pun meninggalkan kerjasama sedia ada. Dapatan mengenai pengaruh terhadap kerjasama politik pula menunjukkan bahawa PAS membuat pertimbangan rasional berasaskan enam pengaruh; i) membentuk kerjasama politik bagi mencapai matlamat dasar partinya (Policy Seeking), ii) mendapatkan kuasa dan jawatan (Office Seeking), iii) mendapatkan undi dan kemenangan dalam pilihan raya (Voting Seeking), iv) pengaruh sosiologi iaitu perubahan masyarakat massa, v) pengaruh kepimpinan parti, vi) berdasarkan titik persamaan dari segi matlamat yang sama dengan parti-parti politik lain. Kajian ini juga mendapati pembubaran kerjasama politik PAS disebabkan oleh tiga pengaruh iaitu; i)konflik berkaitan dasar partinya (Policy Seeking), ii) konflik perebutan kuasa dan jawatan (Office Seeking) dan iii) konflik pembahagian kerusi dalam pilihan raya (Voting Seeking). PAS dilihat lebih sesuai bersendirian dan telah dibuktikan apabila dasar partinya ingin menubuhkan negara Islam dan melaksanakan nilai dan hukum Islam mengikut acuan kefahaman PAS, maka tidak boleh membawa PAS untuk membentuk kerjasama politik dalam tempoh yang lama kerana dasar tersebut nyata berbeza dengan parti-parti lain. Politik PAS hanya mampu berkuasa di Kelantan dan Terengganu serta kawasan atau negeri yang majoritinya Melayu Islam. Apa yang jelas dengan penemuan ini, tesis ini menyumbang kepada khazanah ilmu politik, iaitu dengan menjelaskan pengaruh dan pertimbangan yang dibuat oleh sesebuah parti politik dalam tindakan pembentukan dan pembubaran kerjasama politik.


Download File

[img] Text
FEM 2019 28 UPM ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Political parties - Malaysia
Subject: Political development
Call Number: FEM 2019 28
Chairman Supervisor: Zaid Ahmad, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Editor
Date Deposited: 20 Nov 2020 00:27
Last Modified: 04 Jan 2022 02:42
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/84206
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item