Citation
Mohd Isa, Nur Ayuni
(2019)
Tahaluf Siyasi Parti Islam Se-Malaysia dalam politik Malaysia dari tahun 1973-2015.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tesis ini mengkaji Tahaluf Siyasi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap kerjasama
politik di Malaysia. Hujah utama tesis ini adalah; Malaysia sebagai sebuah negara
demokrasi yang mengamalkan sistem pelbagai parti yang mana tiada satu parti pun
mampu untuk membentuk kerajaan pemerintah secara bersendirian. Oleh itu, parti-parti
politik memerlukan kerjasama politik untuk membentuk kerajaan pemerintah.
Penyertaan PAS dalam menjalin kerjasama politik juga tidak terkecuali dengan
memperkenalkan konsep Tahaluf Siyasi. PAS telah menjalinkan kerjasama politik
dengan pelbagai parti yang berbeza dasar dan latar belakang sebanyak lima (5) kali
bermula dengan Barisan Nasional (BN), Harakah Keadilan Rakyat (HAK) Angkatan
Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), dan Pakatan Rakyat (PR) dari
tahun 1973 hingga 2015.
Oleh itu, terdapat empat persoalan kajian iaitu; i) apakah elemen yang terdapat dalam
Tahaluf Siyasi PAS, ii) apakah sejarah kerjasama politik PAS dengan parti-parti politik
yang lain? iii) apakah pengaruh pembentukan kerjasama politik PAS dengan parti-parti
politik lain? iv) apakah pengaruh pembubaran kerjasama politik PAS dengan parti-parti
politik lain? Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif.
Kaedah analisis kandungan dan analisis perbandingan digunakan hasil daripada data
temu bual mendalam dengan pemimpin utama PAS, United Malays National
Organisation (UMNO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Democratic Action Party
(DAP) dan teks-teks Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan dari tahun
1973 hingga 2015. Kajian ini telah mengaplikasikan teori tingkahlaku parti politik yang
mana sesebuah parti politik akan bertindak berasaskan, kepentingan dasar partinya,
jawatan dan kuasa serta juga perkara yang boleh meningkatkan jumlah undi dalam
menjelaskan proses, pengaruh terhadap tindakan pembentukan dan pembubaran
kerjasama politik PAS. Teori Sosiologi juga diaplikasikan dengan memberi fokus
kepada agama, etnik, perubahan masyarakat massa yang mempunyai kaitan rapat
dengan tindakan politik pemimpin dalam sesebuah parti. Dapatan kajian ini menunjukkan Tahaluf Siyasi PAS secara umumnya membawa
maksud diplomasi politik, kompromi politik, kerjasama politik, koalisi politik, pakatan
politik dan integrasi politik. Tahaluf Siyasi merupakan panduan yang terdiri daripada
syarat-syarat dan prinsipnya untuk PAS mengadakan kerjasama dengan parti politik
lain. Proses kerjasama politik PAS mempunyai empat peringkat iaitu; i) mengadakan
rundingan di dalam parti, ii) mengadakan rundingan dengan parti lain yang ingin
membentuk kerjasama, iii) membuat dua pertimbangan utama iaitu pertimbangan dasar
(hukum) dan juga pertimbangan politik, iv) membuat keputusan dan tindakan, sama
ada PAS bersetuju untuk membentuk kerjasama, mengekal kerjasama sedia ada, dan
jika PAS tidak bersetuju, maka PAS akan kekal bersendirian atau pun meninggalkan
kerjasama sedia ada. Dapatan mengenai pengaruh terhadap kerjasama politik pula
menunjukkan bahawa PAS membuat pertimbangan rasional berasaskan enam
pengaruh; i) membentuk kerjasama politik bagi mencapai matlamat dasar partinya
(Policy Seeking), ii) mendapatkan kuasa dan jawatan (Office Seeking), iii) mendapatkan
undi dan kemenangan dalam pilihan raya (Voting Seeking), iv) pengaruh sosiologi iaitu
perubahan masyarakat massa, v) pengaruh kepimpinan parti, vi) berdasarkan titik
persamaan dari segi matlamat yang sama dengan parti-parti politik lain.
Kajian ini juga mendapati pembubaran kerjasama politik PAS disebabkan oleh tiga
pengaruh iaitu; i)konflik berkaitan dasar partinya (Policy Seeking), ii) konflik
perebutan kuasa dan jawatan (Office Seeking) dan iii) konflik pembahagian kerusi
dalam pilihan raya (Voting Seeking). PAS dilihat lebih sesuai bersendirian dan telah
dibuktikan apabila dasar partinya ingin menubuhkan negara Islam dan melaksanakan
nilai dan hukum Islam mengikut acuan kefahaman PAS, maka tidak boleh membawa
PAS untuk membentuk kerjasama politik dalam tempoh yang lama kerana dasar
tersebut nyata berbeza dengan parti-parti lain. Politik PAS hanya mampu berkuasa di
Kelantan dan Terengganu serta kawasan atau negeri yang majoritinya Melayu Islam.
Apa yang jelas dengan penemuan ini, tesis ini menyumbang kepada khazanah ilmu
politik, iaitu dengan menjelaskan pengaruh dan pertimbangan yang dibuat oleh
sesebuah parti politik dalam tindakan pembentukan dan pembubaran kerjasama politik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |