Citation
Aminul Razin, Amirra Shazreena
(2019)
Penguasaan imbuhan dalam kalangan murid bukan melayu.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini memfokuskan penguasaan imbuhan awalan dan akhiran dalam kalangan
murid bukan Melayu. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti kesilapan
imbuhan awalan dan akhiran yang dilakukan oleh murid SJK(T) berdasarkan Teori
Analisis Kesilapan Corder (1973), menjelaskan faktor masalah penguasaan imbuhan
dalam kalangan murid SJK(T) dan menghasilkan modul untuk memantapkan
penguasaan imbuhan dalam kalangan murid SJK(T) menggunakan pendekatan DDR.
Pendekatan Penyelidikan Reka bentuk dan Pembangunan (DDR) dan Teori Analisis
Kesilapan Corder (1973) digunakan sebagai landasan kajian ini. Penyelidikan ini
menggunakan kaedah pemerhatian, temu bual dan tinjauan lapangan. Alat yang
digunakan dalam kajian ini ialah ujian penilaian kemahiran imbuhan dan soal selidik.
Pengkaji telah memilih 15 imbuhan awalan dan 15 imbuhan akhiran dalam membina
soalan untuk diuji dalam kalangan 69 orang responden, iaitu murid darjah lima. Data
dianalisis secara kuantitatif dan kualitatif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
Analisis Kesalahan imbuhan awalan yang paling banyak dilakukan oleh murid
berasaskan Teori Analisis Kesalahan Corder (1973) ialah penambahan unsur yang
tidak perlu, iaitu sebanyak 60% dan kesalahan dalam imbuhan akhiran yang paling
banyak dilakukan murid ialah pemilihan unsur yang tidak tepat, iaitu sebanyak 69%
kesalahan. Berdasarkan maklumat tersebut, dapat diketahui jenis kesalahan yang
banyak dilakukan oleh murid dalam pengimbuhan untuk memudahkan
penambahbaikan dibuat. Selain itu, faktor yang mempengaruhi penguasaan imbuhan
murid SJKT yang telah ditemui dalam kajian ini ialah pengaruh bahasa ibunda guru,
faktor sikap ibu bapa di sekolah, faktor persekitaran, faktor gaya pengajaran dari segi
masa, faktor pengaruh bahasa ibunda murid, faktor sikap murid serta faktor sikap ibu
bapa. Maka, Modul Celik Imbuhan didirikan untuk membantu guru dan murid
memantapkan imbuhan mereka menggunakan Teknik Mnemonik, iaitu Teknik
akrostik dan kata kunci bagi memudahkan murid untuk mengenal pasti huruf yang
berkaitan dan huruf yang perlu digugurkan setelah berlaku pengimbuhan dengan
mudah dan cepat. Modul ini didirikan melalui Pendekatan Penyelidikan Rekabentuk
dan Pembangunan (DDR) iaitu satu konsep penyelidikan yang membangunkan
sesuatu kajian dengan teratur dan sistematik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |