Citation
Tonya, Nurul Atira
(2018)
Penerapan kerangka taklif dalam filem “Sepet” dan “Muallaf” arahan Yasmin Ahmad.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tesis ini bertitik tolak dari pengamatan terhadap kajian-kajian ilmiah sedia ada
yang berkitar dalam dua persoalan. Pertama, kajian-kajian ilmiah sedia ada
rata-rata menunjukkan bahawa penerapan konsep Taklif sebagai kerangka
analisis berupaya memperlihatkan kedudukan Islam dalam sastera Melayu dan
sastera Melayu dalam Islam. Hal ini kerana konsep Taklif merupakan kerangka
berteraskan Islam. Akan tetapi, kajian-kajian ini hanya menerapkan konsep
Taklif dalam menganalisis cerpen dan novel. Kedua,kajian-kajian ilmiah sedia
ada cenderung mengaitkan filem-filem Yasmin Ahmad dengan Pluralisme
Agama. Lebih penting lagi apabila kajian-kajian tersebut menyimpulkan
bahawa Pluralisme Agama yang dimanifestasikan dalam filem-filem Yasmin
Ahmad adalah sejajar dengan ajaran Islam. Penting untuk dijelaskan bahawa
kajian-kajian tersebut tidak menerapkan kerangka analisis yang berteraskan
Islam. Hakikat ini mewujudkan ruang bagi penerapan konsep Taklif dalam
menganalisis filem sebagai medium sastera. Bagi merungkaikan permasalahan
di atas, kajian ini menggariskan tiga objektif. Pertama, menyusun Kerangka
Taklif sebagai kerangka analisis filem. Kedua, meneliti latar belakang Yasmin
Ahmad sebagai pengkarya filem “Sepet” (2004), dan “Muallaf” (2009). Ketiga,
mengaplikasi Kerangka Taklif sebagai kerangka analisis bagi mengkaji filem
“Sepet” (2004), dan “Muallaf” (2009) arahan Yasmin Ahmad. Menurut Shah
Waliyullah Al-Dihlawi RH, Taklif merujuk kepada pembebanan dan
kebertanggungjawaban manusia untuk menyembah Allah SWT. Hakikat ini
menjadikan setiap aspek kehidupan manusia menjadi satu ‘ibadah’ iaitu
penyerahan diri manusia kepada Penciptanya. Dengan pengertian ini, konsep
Taklif tidak memungkinkan penderhakaan manusia kepada Penciptanya.
Berdasarkan konsep Taklif, hasil analisis mendapati bahawa filem-filem
Yasmin Ahmad cenderung untuk memanifestasikan Pluralisme Agama, iaitu
fahaman yang beranggapan bahawa semua agama adalah sama dan benar. Hasil analisis turut menjelaskan bahawa manifestasi Pluralisme Agama dalam
filem-filem Yasmin Ahmad adalah bertentangan dengan konsep Taklif yang
menjadi kerangka analisis dalam kajian ini.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |