Citation
Saimon, Aminnudin
(2019)
Lakuan bahasa dalam filem Melayu terpilih.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Lakuan bahasa merupakan hubungan dua hala antara penutur dengan pendengar yang memperlihatkan ujaran penutur dalam menyatakan sesuatu dapat difahami oleh pendengar dan pendengar bertindak balas terhadap ujaran penutur. Dalam kajian ini, masalah yang timbul ialah aspek lakuan bahasa dilihat sukar untuk ditentukan penggunaannya, terutamanya pengkategorian lakuan bahasa. Hal ini demikian kerana mesej yang hendak disampaikan melalui lakuan bahasa yang ingin ditonjolkan dalam budaya Melayu daripada filem sukar ditentukan penggunaannya kerana kekurangan pemahaman dan kekeliruan terhadap lakuan bahasa. Penyelidik menyenaraikan tiga objektif kajian yang utama, iaitu mengenal pasti aspek lakuan bahasa dalam filem Melayu terpilih, menganalisis aspek lakuan bahasa menggunakan teori lakuan bahasa Searle (1969) dan merumus aspek lakuan bahasa dalam memancarkan akal budi bangsa Melayu dalam filem Melayu terpilih. Data penyelidikan diperoleh daripada empat buah filem Melayu klasik, iaitu filem Semerah Padi (1956), filem Hang Jebat (1961), filem Seri Mersing (1961) dan filem Lancang Kuning (1962). Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan ini adalah menggunakan kaedah analisis kandungan. Kaedah ini dipilih kerana setiap ujaran akan diteliti mengenai kandungannya yang mengandungi lakuan bahasa dan seterusnya dikategorikan mengikut teori lakuan bahasa Searle (1969). Hasil penyelidikan mendapati bahawa sebanyak 1391 lakuan bahasa yang terdapat dalam ujaran yang digunakan pada keempat-empat buah filem. Sebanyak 370 lakuan bahasa daripada FLK, 277 lakuan bahasa daripada FHJ, 496 lakuan bahasa daripada FSM dan 248 lakuan bahasa daripada FSP. Daripada jumlah tersebut, lakuan bahasa asertif merupakan lakuan yang paling dominan, iaitu sebanyak 671 kekerapan, diikuti oleh lakuan direktif sebanyak 442 kekerapan dan lakuan ketiga yang paling kerap ialah lakuan ekspresif sebanyak 176. Lakuan komisif dan deklaratif merupakan lakuan yang kurang kerap digunakan, iaitu sebanyak 96 dan 6 kekerapan. Penggunaan teori paragmatik, iaitu Teori Lakuan Bahasa (Searle, 1969) dilihat amat berwibawa dalam merungkai makna hajat komunikatif penutur, diinterpretasi dan difahami oleh pendengar, seterusnya pendengar bertindak terhadap hajat komunikatif penutur. Hasil analisis data mendapati bahawa lakuan bahasa dapat memberikan satu input dalam komunikasi, iaitu hubungan yang saling memahami. Setiap ujaran penutur dapat difahami oleh pendengar melalui lakuan bahasa. Selain itu, akal budi seseorang terpancar melalui ujaran yang diujarkan dalam menyatakan sesuatu perkara. Akal budi seseorang juga dapat dilihat melalui aspek lakuan bahasa yang digunakan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |