Citation
Hussin, Zahriah
(2018)
Kesan skemata bahasa Arab terhadap pencapaian hafazan melalui kefahaman Al-Quran dan amalan pembelajaran regulasi-kendiri.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tesis ini memfokuskan kesan skemata bahasa Arab terhadap pencapaian hafazan
melalui kefahaman al-Quran dan konsep pembelajaran regulasi-kendiri (PRK).
Berdasarkan tinjauan literatur, walaupun pendidikan tahfiz berkembang pesat mutakhir
ini, pencapaian hafazan al-Quran di institusi tahfiz didapati kurang memberangsangkan.
Kelemahan pencapaian hafazan dipercayai berpunca daripada kelemahan dalam aspek
kefahaman makna ayat al-Quran, kurangnya keberkesanan strategi hafazan dan
kekurangan motivasi dalam kalangan pelajar tahfiz. Walaupun banyak kajian telah
dijalankan, namun terdapat kelompangan dalam memahami faktor di sebalik kelemahan
tersebut. Sementara itu, beberapa sarjana Islam didapati menekankan pengajaran bahasa
Arab dalam sistem pendidikan tahfiz. Justeru, kajian ini meneroka kepentingan skemata
bahasa Arab dalam melengkapkan kefahaman tentang faktor yang boleh meramal
pencapaian hafazan. Dengan mengambil pendekatan kuantitatif, kajian ini menyelidiki
pengaruh skemata bahasa Arab terhadap pencapaian hafazan dalam kalangan pelajar
tahfiz yang mempunyai latar belakang pengajian bahasa Arab. Kajian dijalankan
terhadap 246 sampel dari empat buah institusi tahfiz di Malaysia yang mensyaratkan
pelajar mempunyai skemata bahasa Arab pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Faktor pengantara, iaitu kefahaman al-Quran dan lima konstruk PRK - efikasi kendiri,
strategi hafazan, strategi metakognitif, tikrÉr dan strategi pengurusan sumber - turut
diteliti. Pengumpulan data dilakukan melalui teknik ujian dan borang soal selidik.
Kaedah ujian digunakan bagi mengukur tahap skemata bahasa Arab yang terdiri
daripada nahu, saraf dan kosa kata, tahap kefahaman al-Quran dan juga pencapaian
hafazan. Soal selidik digunakan untuk mengukur amalan PRK. Analisis deskriptif
menunjukkan semua konstruk PRK berada pada tahap tinggi. Skemata saraf, skemata
kosa kata dan kefahaman al-Quran berada pada tahap sederhana tinggi, manakala
pencapaian hafazan (lisan dan bertulis) dan skemata nahu berada pada tahap sederhana
rendah. Hasil analisis menggunakan Partial Least Square – Structural Equation
Modeling (PLS-SEM) dan prosedur Bootstrapping menunjukkan bahawa skemata
bahasa Arab mempunyai kesan langsung dan kesan tidak langsung terhadap pencapaian hafazan. Kesan tidak langsung ditemui paling utama melalui laluan kefahaman al-Quran
diikuti laluan strategi hafazan, efikasi kendiri dan tikrÉr. Skemata bahasa Arab didapati
mempunyai kesan yang signifikan ke atas semua pemboleh ubah yang dikaji sama ada
kesan langsung atau kesan tidak langsung kecuali terhadap strategi metakognitif.
Analisis kesan keseluruhan mendapati skemata bahasa Arab dan kefahaman al-Quran
memberi kesan yang lebih besar terhadap pencapaian hafazan dibandingkan dengan
faktor amalan PRK. Analisis Importance-Performance Matrix Analysis (IPMA)
menunjukkan komponen bahasa Arab yang paling penting terhadap pencapaian hafazan
ialah nahu, diikuti oleh saraf dan kosa kata. Dapatan kajian ini menjelaskan bahawa
skemata bahasa Arab dan kefahaman al-Quran menjadi faktor peramal yang relevan
terhadap pencapaian hafazan. Penemuan ini selari dengan pandangan ilmuan silam yang
menekankan kepentingan bahasa Arab dalam kalangan pelajar tahfiz seperti Ibnu
Khaldun dan al- QÉbisi. Oleh yang demikian, pengetahuan bahasa Arab dan kefahaman
al-Quran perlu dijadikan fokus kajian seterusnya dalam bidang hafazan al-Quran. Ini
bermakna, pengetahuan bahasa Arab perlu diintegrasikan ke dalam sistem hafazan
dalam usaha meningkatkan penguasaan hafazan pelajar tahfiz.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |