UPM Institutional Repository

Jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja Al-Quran pola af'ala ke bahasa Melayu


Citation

Mohd Yasin, Badrul Hisyam (2018) Jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja Al-Quran pola af'ala ke bahasa Melayu. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Jurang leksikal merupakan isu yang sering dihadapi oleh penterjemah al-Quran. Tinjauan persuratan menunjukkan jurang leksikal mencetuskan kesukaran dalam penterjemahan al-Quran kerana penterjemah perlu mencari padanan terbaik untuk merapatkan jurang leksikal agar hasil terjemahan menepati mesej Allah SWT. Kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti bentuk jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala ke bahasa Melayu dalam “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al- Qur’an” (TPR) dan “al-Qur’an Mushaf Malaysia dan Terjemahan” (QMMT), membandingkan teknik terjemahan yang digunakan bagi menangani jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala ke bahasa Melayu dalam TPR dan QMMT serta menghuraikan impak penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala bagi menangani jurang leksikal terhadap mesej al-Quran dalam TPR dan QMMT. Bagi merealisasikan objektif kajian, model jurang leksikal dalam terjemahan oleh Ping (2005), pendekatan terjemahan perkataan serta konsep dan teknik terjemahan intervensi oleh Darwish (2010) diterapkan sebagai rangka kerja konseptual. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif melalui penerapan reka bentuk kajian kes. Sebanyak 25 sampel kata kerja al-Quran pola afᶜala yang terkandung dalam 64 potongan ayat al-Quran dan terjemahannya telah dipilih dan dianalisis secara mendalam. Dapatan kajian telah mengenal pasti dua bentuk jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala ke bahasa Melayu, iaitu jurang leksikal wajar dan jurang leksikal separa. Jurang leksikal wajar membentuk dua klasifikasi, iaitu kelompangan konsep dan ketiadaan ungkapan. Jurang leksikal separa pula membentuk dua klasifikasi, iaitu perbezaan makna denotasi dan pencapahan makna konotasi. Perbandingan teknik terjemahan antara TPR dengan QMMT menunjukkan kedua-duanya memanfaatkan teknik pengembangan, teknik penyilangan, teknik gantian modulasi, pinjam terjemah, gabungan teknik pinjam terjemah dan teknik apositif, serta gabungan teknik pengembangan dan apositif. Sebaliknya gabungan teknik gantian modulasi dan apositif hanya diaplikasikan oleh TPR dan gabungan teknik pinjaman dan apositif pula hanya diaplikasikan oleh QMMT. Teknik pengembangan serta gabungan teknik pinjam terjemah dan terjemahan apositif merupakan teknik yang berkesan untuk menangani jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala. Kejayaan merapatkan jurang leksikal dibuktikan apabila terjemahan berjaya menjelaskan konsep terminologi fikah, merungkaikan konsep kata kerja al-Quran yang kompleks, mengeksplisitkan makna denotasi dan konotasi kata kerja al-Quran, mengekalkan kesantunan bahasa al-Quran, menyampaikan mesej al-Quran secara ringkas dan padat. Ketidaksempurnaan dalam menangani jurang leksikal pula menyebabkan mesej al- Quran tidak disampaikan secara dramatik, kewujudan pengaruh cerita Isrā’īliyyat, kehilangan sebahagian daripada mesej al-Quran dan kekeliruan terhadap konsep terminologi Islam. Rumusannya, kajian ini membuktikan bahawa jurang leksikal merupakan satu cabaran yang kritikal dalam terjemahan al-Quran disebabkan wujudnya konflik antara kata kerja al-Quran dengan item leksikal bahasa Melayu dan penterjemah al-Quran perlu memberikan perhatian yang wajar terhadap isu ini bagi menghasilkan terjemahan al-Quran yang berkualiti.


Download File

[img] Text
FBMK 2018 68 - ir.pdf

Download (2MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Qurʼan - Translations into Malay
Subject: Lexicology
Call Number: FBMK 2018 68
Chairman Supervisor: Syed Nurulakla bin Syed Abdullah, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 08 Sep 2020 07:57
Last Modified: 07 Jan 2022 03:24
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/83263
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item