Citation
Mohd Yasin, Badrul Hisyam
(2018)
Jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja Al-Quran pola af'ala ke bahasa Melayu.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Jurang leksikal merupakan isu yang sering dihadapi oleh penterjemah al-Quran. Tinjauan
persuratan menunjukkan jurang leksikal mencetuskan kesukaran dalam penterjemahan
al-Quran kerana penterjemah perlu mencari padanan terbaik untuk merapatkan jurang
leksikal agar hasil terjemahan menepati mesej Allah SWT. Kajian ini dilaksanakan untuk
mengenal pasti bentuk jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola
afᶜala ke bahasa Melayu dalam “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-
Qur’an” (TPR) dan “al-Qur’an Mushaf Malaysia dan Terjemahan” (QMMT),
membandingkan teknik terjemahan yang digunakan bagi menangani jurang leksikal
dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala ke bahasa Melayu dalam TPR dan
QMMT serta menghuraikan impak penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala bagi
menangani jurang leksikal terhadap mesej al-Quran dalam TPR dan QMMT. Bagi
merealisasikan objektif kajian, model jurang leksikal dalam terjemahan oleh Ping
(2005), pendekatan terjemahan perkataan serta konsep dan teknik terjemahan intervensi
oleh Darwish (2010) diterapkan sebagai rangka kerja konseptual. Kajian ini
menggunakan pendekatan kajian kualitatif melalui penerapan reka bentuk kajian kes.
Sebanyak 25 sampel kata kerja al-Quran pola afᶜala yang terkandung dalam 64 potongan
ayat al-Quran dan terjemahannya telah dipilih dan dianalisis secara mendalam. Dapatan
kajian telah mengenal pasti dua bentuk jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja
al-Quran pola afᶜala ke bahasa Melayu, iaitu jurang leksikal wajar dan jurang leksikal
separa. Jurang leksikal wajar membentuk dua klasifikasi, iaitu kelompangan konsep dan
ketiadaan ungkapan. Jurang leksikal separa pula membentuk dua klasifikasi, iaitu
perbezaan makna denotasi dan pencapahan makna konotasi. Perbandingan teknik
terjemahan antara TPR dengan QMMT menunjukkan kedua-duanya memanfaatkan
teknik pengembangan, teknik penyilangan, teknik gantian modulasi, pinjam terjemah, gabungan teknik pinjam terjemah dan teknik apositif, serta gabungan teknik
pengembangan dan apositif. Sebaliknya gabungan teknik gantian modulasi dan apositif
hanya diaplikasikan oleh TPR dan gabungan teknik pinjaman dan apositif pula hanya
diaplikasikan oleh QMMT. Teknik pengembangan serta gabungan teknik pinjam
terjemah dan terjemahan apositif merupakan teknik yang berkesan untuk menangani
jurang leksikal dalam penterjemahan kata kerja al-Quran pola afᶜala. Kejayaan
merapatkan jurang leksikal dibuktikan apabila terjemahan berjaya menjelaskan konsep
terminologi fikah, merungkaikan konsep kata kerja al-Quran yang kompleks,
mengeksplisitkan makna denotasi dan konotasi kata kerja al-Quran, mengekalkan
kesantunan bahasa al-Quran, menyampaikan mesej al-Quran secara ringkas dan padat.
Ketidaksempurnaan dalam menangani jurang leksikal pula menyebabkan mesej al-
Quran tidak disampaikan secara dramatik, kewujudan pengaruh cerita Isrā’īliyyat,
kehilangan sebahagian daripada mesej al-Quran dan kekeliruan terhadap konsep
terminologi Islam. Rumusannya, kajian ini membuktikan bahawa jurang leksikal
merupakan satu cabaran yang kritikal dalam terjemahan al-Quran disebabkan wujudnya
konflik antara kata kerja al-Quran dengan item leksikal bahasa Melayu dan penterjemah
al-Quran perlu memberikan perhatian yang wajar terhadap isu ini bagi menghasilkan
terjemahan al-Quran yang berkualiti.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |