UPM Institutional Repository

Peranan guru sebagai agen sosialisasi politik dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah Daerah Petaling, Selangor, Malaysia


Citation

Yong, Hie Hie (2018) Peranan guru sebagai agen sosialisasi politik dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah Daerah Petaling, Selangor, Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Sekolah merupakan antara institusi penting yang berupaya membantu pembentukan perpaduan etnik melalui proses sosialisasi yang melibatkan pelbagai agen seperti guru dan rakan sebaya. Dalam konteks ini, guru merupakan agen yang lebih berautoriti, sekali gus dapat memberi impak yang lebih positif ke arah pemupukan perpaduan etnik di sekolah. Para guru terutamanya di peringkat sekolah rendah merupakan agen sosialisasi politik yang penting dalam menyatupadukan pelajar yang terdiri daripada kepelbagaian etnik, seterusnya membentuk kesedaran generasi muda mengenai tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara. Walau bagaimanapun, terdapat guru yang mewujudkan provokasi perkauman serta melakukan pengasingan pelajar mengikut etnik, latar belakang ekonomi dan agama agar pelajarnya dapat mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan, dan sebahagiannya juga mengabaikan peranan mereka sebagai agen sosialisasi politik dalam pemupukan perpaduan etnik kepada pelajar. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk menentukan peranan penting guru sebagai agen sosialisasi politik dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah. Selain itu, kajian ini juga dijalankan untuk menganalisis proses sosialisasi politik yang dilalui oleh guru yang akan mempengaruhi persepsi guru dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah, menentukan kaedah yang digunakan oleh guru untuk menerap ilmu perpaduan di sekolah dan menganalisis faktor penghalang kepada guru sebagai agen sosialisasi politik dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah. Kaedah kualitatif melalui teknik perbincangan kumpulan berfokus (FGD- Focus Group Discussion) telah dijalankan bagi mencapai objektif kajian melibatkan tiga kumpulan guru yang terdiri daripada guru Melayu, Cina dan India. Mereka merupakan guru sekolah rendah yang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di daerah Petaling, Selangor. Melalui teknik tersebut, perbualan peserta dirakamkan melalui video rakaman dan ditranskrip secara verbatim. Data telah dianalisis untuk mengenal pasti tema dan kategori bagi menjawab persoalan kajian. Selain itu, temu bual daripada pakar sosiologi dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Petaling (PPDP) dilakukan untuk menyokong data FGD. Hasil kajian menunjukkan proses sosialisasi politik yang dilalui oleh guru yang mempengaruhi persepsi guru dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah melibatkan enam perkara, iaitu: i) persepsi guru terhadap proses sosialisasi politik; ii) persepsi guru terhadap kepentingan perpaduan; iii) persepsi guru terhadap kaedah pemupukan perpaduan; iv) persepsi guru terhadap sistem pentadbiran sekolah; v) persepsi guru terhadap sikap negatif individu; dan vi) persepsi guru terhadap isu agama dan politik. Selain itu, dapatan kajian ini memaparkan lima kaedah yang digunakan oleh guru untuk menerap ilmu perpaduan di sekolah, iaitu: i) pergaulan antara etnik; ii) penerapan nilai murni; iii) aktiviti sambutan perayaan pelbagai etnik; iv) makanan dan pakaian tradisional etnik; dan v) dialog perpaduan. Hasil kajian ini juga menunjukkan tiga faktor utama yang dianggap sebagai penghalang guru dalam pemupukan perpaduan etnik di sekolah turut dikenal pasti, iaitu: i) faktor sikap; ii) faktor sistem pentadbiran sekolah; dan iii) faktor luaran. Menerusi hasil kajian, faktor yang disebabkan sikap terdapat tiga, iaitu: i) sikap negatif individu; ii) guru tidak mementingkan bahasa Melayu; dan iii) guru kurang keyakinan untuk membincangkan isu perpaduan. Manakala faktor yang disebabkan oleh sistem pentadbiran sekolah adalah seperti: i) pengasingan guru dalam dua sesi persekolahan; ii) pengelompokan guru mengikut mata pelajaran; dan iii) penumpuan sekolah yang lebih kepada sukatan pelajaran kurikulum. Akhir sekali ialah faktor luaran yang telah dikenal pasti dalam kajian ini adalah media massa dan ahli politik. Dalam keseluruhan kajian, hasil kajian menunjukkan terdapat empat peranan penting guru sebagai agen sosialisasi politik dalam memupuk perpaduan etnik di sekolah, iaitu i) pemangkin perpaduan etnik; ii) suri teladan; iii) pendidik asas perpaduan kepada pelajar; dan iv) sumber utama ilmu kebudayaan etnik.


Download File

[img] Text
FEM 2019 14 ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Teachers - Political activity - Selangor - Malaysia
Call Number: FEM 2019 14
Chairman Supervisor: Dr. Ku Hasnita Ku Samsu, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 04 May 2020 01:29
Last Modified: 24 Jan 2022 07:27
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/77690
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item