UPM Institutional Repository

Faktor penentu kesejahteraan ekonomi subjektif dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya, Malaysia


Citation

Ab Ghani, Mohd Haziman (2019) Faktor penentu kesejahteraan ekonomi subjektif dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya, Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) - Menangani Kos Sara Hidup Rakyat (NKRA-COL) telah diperkenalkan pada bulan Julai 2011 oleh pihak kerajaan sebagai respon kepada kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap kenaikan kos sara hidup. Kesejahteraan ekonomi perlu diberikan perhatian yang serius kerana tekanan ekonomi boleh menyumbang kepada ketidakharmonian dalam institusi kekeluargaan dan mencetuskan isu sosial. Lebih memburukkan keadaan, tekanan ini juga mampu menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan di tempat kerja. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesejahteraan ekonomi subjektif dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya. Kajian tinjauan berbentuk deskriptif ini menggunakan pendekatan kuantitatif. Sebanyak lima buah kementerian di Putrajaya telah dipilih sebagai lokasi kajian menerusi kaedah persampelan sistematik. Sebanyak 500 borang soal selidik telah diedarkan kepada responden yang merupakan penjawat awam yang menyandang gred jawatan 54 dan ke bawah. Item soal selidik kajian ini diadaptasi daripada beberapa kajian lepas dan diolah mengikut kesesuaian kajian ini. Data yang diperoleh telah dianalisis secara deskriptif dan inferensi yang melibatkan analisis ujian-t, ujian ANOVA sehala, ujian korelasi Pearson dan ujian regresi pelbagai. Kajian mendapati lebih 40.5% responden mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM4,000 manakala daripada sudut pendapatan isi rumah pula, pendapatan antara RM3,001 hingga RM6,000 mencatatkan kumpulan pendapatan tertinggi iaitu 35.4%. Analisis deskriptif menunjukkan responden memiliki tahap kesejahteraan ekonomi subjektif pada tahap yang sederhana. Dalam pada itu, tahap kepuasan terhadap pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pemilikan harta juga dilaporkan pada tahap sederhana. Namun begitu, analisis terhadap perlakuan berekonomi responden berada pada tahap yang tinggi. Analisis korelasi Pearson menunjukkan hubungan yang positif dan signifikan antara kepuasan pendapatan, kepuasan perbelanjaan, kepuasan simpanan, kepuasan pemilikan harta dengan kesejahteraan ekonomi subjektif. Ini bermakna, semakin tinggi tahap kepuasan terhadap pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pemilikan harta, semakin tinggi tahap kesejahteraan ekonomi subjektif. Namun begitu, analisis mendapati terdapat hubungan yang negatif antara perlakuan berekonomi dengan kesejahteraan ekonomi subjektif. Keputusan analisis regresi pelbagai menunjukkan bahawa kesemua pemboleh ubah dapat menjelaskan sebanyak 54.1% varian bagi kesejahteraan ekonomi subjektif. Ini bermakna perubahan sebanyak 54.1% varian di dalam model kesejahteraan ekonomi subjektif dapat diterangkan melalui perubahan dalam kombinasi pemboleh ubah iaitu faktor sosiodemografi (umur & pendapatan bulanan isi rumah), pendapatan, perbelanjaan, simpanan, pemilikan harta dan perlakuan berekonomi. Secara keseluruhan, kepuasan terhadap pendapatan adalah faktor utama yang mempengaruhi kesejahteraan ekonomi subjektif. Bagi meningkatkan tahap kesejahteraan ekonomi dalam kalangan penjawat awam, penetapan gaji penjawat awam terutamanya bagi kumpulan pelaksana sewajarnya disemak semula selaras dengan iklim ekonomi semasa di Malaysia yang berdepan dengan isu kenaikan kos sara hidup. Pada masa yang sama, kesedaran dalam diri setiap penjawat awam perlu ada terutamanya berkaitan dengan pengurusan kewangan dan pengurusan sumber ekonomi keluarga bagi meningkatan tahap kepuasan terhadap pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pemilikan harta yang kesemuanya berada pada tahap sederhana ke suatu tahap yang lebih baik. Pada masa yang sama, amalan perlakuan berekonomi harus sentiasa diamalkan oleh semua memandangkan amalan ini terbukti dapat mempengaruhi kesejahteraan ekonomi isi rumah.


Download File

[img] Text
FEM 2019 8 ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Well-being - Economic aspects - Malaysia
Subject: Civil service - Malaysia
Call Number: FEM 2019 8
Chairman Supervisor: Profesor Madya Mohamad Fazli Sabri, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 06 May 2020 01:34
Last Modified: 25 Jan 2022 02:45
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/77684
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item