Citation
Mustafa, Fazlina Akmal
(2018)
Faktor yang mempengaruhi tingkah laku sisa sifar dalam kalangan pengguna di Lembah Klang, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Sisa pepejal adalah salah satu masalah alam sekitar di Malaysia. Sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk dan ekonomi sesebuah negara, jumlah sisa bertambah saban hari dan turut menambah kesukaran untuk melupuskannya. Oleh itu penting bagi pengguna memahami serta mengamalkan konsep sisa sifar bagi membantu memulihara alam sekitar. Konsep sisa sifar perlu dilaksanakan dengan mengaplikasikan kaedah pengurangan sisa, kitar semula, guna semula dan kompos berbanding penghantaran sisa ke tapak pelupusan. Dalam kajian ini, Teori Tingkah Laku Terancang digunakan untuk mengenal pasti faktor-faktor sikap, norma subjektif, tanggapan kawalan tingkah laku dan identiti diri yang mendorong kepada tingkah laku pengguna terhadap sisa sifar untuk mengurangkan masalah sisa sekaligus membantu menjadikan Malaysia lebih bersih, selamat dan sihat. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji perbezaan tingkah laku terhadap sisa sifar berdasarkan faktor sosio demografi jantina dan pendidikan, mengkaji perkaitan antara tingkah laku sisa sifar dengan sikap, norma subjektif, tanggapan kawalan tingkah laku dan identiti diri serta mengkaji faktor yang mempengaruhi tingkah laku pengguna terhadap sisa sifar. Lokasi kajian adalah di kawasan Lembah Klang dengan melibatkan bilangan responden seramai 400 orang. Pemilihan responden adalah berdasarkan kaedah persampelan rawak berlapis. Data bagi kajian ini dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik yang diselia sendiri oleh responden. Analisis data dibahagikan kepada analisis deskriptif dan inferensi yang melibatkan ujian-t, ujian ANOVA, ujian Korelasi Pearson dan ujian Regresi Pelbagai dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Dapatan kajian menunjukkan tiada perbezaan bagi jantina dan pendidikan dengan tingkah laku sisa sifar. Analisis Korelasi Pearson mendapati wujudnya perkaitan yang signifikan antara sikap, norma subjektif, tanggapan kawalan tingkah laku dan identiti diri terhadap tingkah laku sisa sifar. Selain itu, analisis Regresi Pelbagai menunjukkan kombinasi empat pemboleh ubah peramal iaitu sikap, norma subjektif, tanggapan kawalan tingkah laku dan identiti diri menyumbang sebanyak 39 peratus terhadap model ini di mana pemboleh ubah sikap telah dikenalpasti sebagai faktor penyumbang terbesar ke dalam model tingkah laku. Penemuan kajian ini sangat berguna terutama kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan sisa pepejal untuk memperkenalkan polisi dan program yang relevan bagi mengukuhkan sikap pengguna supaya mereka merasakan bahawa mereka mempunyai peranan yang penting dalam tingkah laku sisa sifar. Teori Tingkah Laku Terancang telah dibuktikan boleh menerangkan tingkah laku terhadap sisa sifar dengan faktor sikap sebagai peramal utama tingkah laku sisa sifar.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |