Citation
Zakaria, Nornadia Liz
(2018)
Kesan program bijak wang terhadap literasi, tingkah laku dan kompetensi kewangan dalam kalangan kanak- kanak di Serdang, Selangor.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Masalah kewangan dalam kalangan golongan muda yang kian meningkat saban tahun menimbulkan persoalan adakah golongan muda di negara ini tidak cukup kompeten dalam mengendalikan hal kewangan mereka. Persoalan ini mungkin tidak akan timbul jika golongan muda dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan bermula dari awal usia lagi. Peringkat kanak-kanak merupakan tempoh perkembangan yang paling penting dan kritikal dalam hidup seseorang kerana pada masa ini kanak-kanak menerima serta mempelajari perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Jika kanak-kanak telah diajar sejak kecil tentang pengurusan kewangan, ianya mungkin dapat mengurangkan masalah kewangan apabila dewasa kelak. Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan program Bijak Wang ke atas literasi, tingkahlaku dan kompetensi kewangan dalam kalangan kanak-kanak/peserta di Taman Sri Serdang, Selangor. Kajian ini melibatkan seramai 31 orang peserta Program Bijak Wang yang dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan (Purposive Sampling) dan penglibatan peserta adalah secara sukarela. Program Bijak Wang merupakan program pendidikan kewangan yang dijalankan selama tiga bulan. Para peserta dinilai dari segi literasi, tingkah laku dan kompetensi kewangan mereka sebelum dan selepas menyertai program dengan menggunakan borang soal selidik. Penilaian oleh ibu bapa ke atas pengetahuan dan kemahiran peserta (anak-anak) turut dilakukan. Penganalisian data adalah secara deskriptif yang melibatkan analisis Ujian-t dan Ujian-t Berpasangan. Dapatan kajian menunjukkan tidak dapat perbezaan yang signifikan antara literasi, tingkahlaku dan kompetensi kewangan dengan faktor demografi terpilih (jantina, pendidikan ibu dan pendidikan bapa). Namun, hanya satu faktor sahaja yang mempunyai perbezaan yang signifikan iaitu perbezaan literasi kewangan dengan pendidikan ibu. Manakala hasil ujian-t berpasangan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan literasi kewangan sebelum dan selepas peserta menyertai program , terdapat perbezaan yang signifikan tingkah laku kewangan sebelum dan selepas peserta menyertai program dan terdapat perbezaan yang signifikan kompetensi kewangan sebelum dan selepas peserta menyertai program. Selain itu, penilaian daripada ibu bapa menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan pengetahuan dan kemahiran kewangan peserta selepas menyertai program. Dapatan kajian ini diharap dapat membantu pihak ibu bapa, sekolah dan kementerian untuk merangka program pendidikan awal kewangan dalam usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang celik kewangan pada usia muda.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |