UPM Institutional Repository

Hubungan keselarasan individu-persekitaran dengan penyesuaian, kepuasan dan pencapaian akademik pelajar kurang upaya pendengaran di Politeknik


Citation

Azizan, Che' Rozaniza (2018) Hubungan keselarasan individu-persekitaran dengan penyesuaian, kepuasan dan pencapaian akademik pelajar kurang upaya pendengaran di Politeknik. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Peranan keselarasan individu-persekitaran (P-E Fit) dalam meramal pencapaian akademik pelajar kurang upaya pendengaran (KUP) di pengajian peringkat tertiari, khususnya di Malaysia agak kurang diberi perhatian berbanding kajian yang sama ke atas pelajar bukan KUP. Penyesuaian turut memainkan peranan penting dalam membantu pelajar KUP menyesuaikan diri dengan pembelajaran di peringkat tertiari. Kegagalan mengatasi masalah penyesuaian bukan sahaja menjejaskan kepuasan pelajar KUP, malah turut menjejaskan prestasi pengajian mereka. Justeru, kajian ini bermatlamat untuk menyelidik sejauh mana tiga faktor P-E Fit iaitu keselarasan personaliti-pengkhususan (KPP), keselarasan kebolehan-permintaan (KKbP) dan keselarasan keperluan-perolehan (KKpP) meramal pencapaian akademik pelajar KUP di politeknik melalui pengantaraan penyesuaian dan kepuasan. Di samping itu, kajian ini turut mengenal pasti tahap pencapaian akademik, penyesuaian, kepuasan, KPP, KKbP, dan KKpP pelajar KUP di politeknik. Menggunakan reka bentuk deskriptif korelasi, kajian ini melibatkan 145 orang pelajar KUP di lima buah politeknik yang menawarkan program Sijil Kemahiran Khas. Inventori Keselarasan Personaliti-Pengkhususan Berbantukan Grafik (untuk mengenal pasti jenis personaliti pelajar KUP), Educational Opportunities FinderTM (untuk mengenal pasti jenis pengkhususan pengajian pelajar KUP), Inventori Keselarasan Kebolehan-Permintaan (untuk mengukur keselarasan antara kebolehan pelajar KUP dengan permintaan pengajian), Inventori Keselarasan Keperluan-Perolehan (untuk mengukur keselarasan antara keperluan pelajar KUP dengan perolehan pengajian), Inventori Penyesuaian Pelajar KUP (untuk mengukur penyesuaian di politeknik), dan Inventori Kepuasan Pelajar KUP (untuk mengukur kepuasan pengajian) telah digunakan untuk mengukur kesemua pemboleh ubah kajian. Statistik deskriptif dan inferensi digunakan untuk penganalisisan data kajian. Dapatan menunjukkan tahap pencapaian akademik pelajar KUP berada pada kedudukan baik (M = 3.38, SP = .38). Pelajar KUP turut menunjukkan tahap penyesuaian (M = 70.92, SP = 10.73), kepuasan (M = 58.60; SP = 8.29), KKbP (M = 56.08, SP = 8.77), dan KKpP (M = 31.39, SP = 4.21) yang sederhana. Padanan lemah antara pengkhususan pengajian yang sedang diikuti oleh pelajar KUP dengan jenis personaliti mereka turut diperoleh. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap pencapaian akademik pelajar KUP berdasarkan kelulusan Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan tahap darjah pendengaran mereka. Keputusan analisis laluan menunjukkan penyesuaian pelajar dan kepuasan merupakan pengantara yang signifikan dalam menerangkan hubungan antara KKbP, dan KKpP dengan pencapaian akademik pelajar KUP. Pencapaian akademik pelajar KUP didapati hanya menerima kesan langsung daripada KPP tanpa melibatkan pengaruh penyesuaian pelajar atau kepuasan (β = .239; p <.001). Kesimpulannya, kajian mendapati bahawa P-E Fit memberikan impak yang positif terhadap pencapaian akademik pelajar KUP di politeknik sama ada dengan melalui atau tanpa melalui pengantaraan penyesuaian pelajar. Malah, penyesuaian turut membolehkan pelajar KUP menangani masalah ketidakselaran P-E Fit; seterusnya memberikan suatu kepuasan menyeluruh sepanjang mengikuti pengajian di politenik.


Download File

[img] Text
FPP 2019 1 ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Deafness
Subject: Hearing impaired children - Education
Call Number: FPP 2019 1
Chairman Supervisor: Profesor Samsilah Roslan, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 30 Apr 2020 02:09
Last Modified: 27 Jan 2022 06:39
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/77505
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item