Citation
Azizan, Che' Rozaniza
(2018)
Hubungan keselarasan individu-persekitaran dengan penyesuaian, kepuasan dan pencapaian akademik pelajar kurang upaya pendengaran di Politeknik.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Peranan keselarasan individu-persekitaran (P-E Fit) dalam meramal pencapaian
akademik pelajar kurang upaya pendengaran (KUP) di pengajian peringkat tertiari,
khususnya di Malaysia agak kurang diberi perhatian berbanding kajian yang sama ke
atas pelajar bukan KUP. Penyesuaian turut memainkan peranan penting dalam
membantu pelajar KUP menyesuaikan diri dengan pembelajaran di peringkat tertiari.
Kegagalan mengatasi masalah penyesuaian bukan sahaja menjejaskan kepuasan
pelajar KUP, malah turut menjejaskan prestasi pengajian mereka. Justeru, kajian ini
bermatlamat untuk menyelidik sejauh mana tiga faktor P-E Fit iaitu keselarasan
personaliti-pengkhususan (KPP), keselarasan kebolehan-permintaan (KKbP) dan
keselarasan keperluan-perolehan (KKpP) meramal pencapaian akademik pelajar KUP
di politeknik melalui pengantaraan penyesuaian dan kepuasan. Di samping itu, kajian
ini turut mengenal pasti tahap pencapaian akademik, penyesuaian, kepuasan, KPP,
KKbP, dan KKpP pelajar KUP di politeknik.
Menggunakan reka bentuk deskriptif korelasi, kajian ini melibatkan 145 orang pelajar
KUP di lima buah politeknik yang menawarkan program Sijil Kemahiran Khas.
Inventori Keselarasan Personaliti-Pengkhususan Berbantukan Grafik (untuk mengenal
pasti jenis personaliti pelajar KUP), Educational Opportunities FinderTM (untuk
mengenal pasti jenis pengkhususan pengajian pelajar KUP), Inventori Keselarasan
Kebolehan-Permintaan (untuk mengukur keselarasan antara kebolehan pelajar KUP
dengan permintaan pengajian), Inventori Keselarasan Keperluan-Perolehan (untuk
mengukur keselarasan antara keperluan pelajar KUP dengan perolehan pengajian),
Inventori Penyesuaian Pelajar KUP (untuk mengukur penyesuaian di politeknik), dan
Inventori Kepuasan Pelajar KUP (untuk mengukur kepuasan pengajian) telah
digunakan untuk mengukur kesemua pemboleh ubah kajian. Statistik deskriptif dan
inferensi digunakan untuk penganalisisan data kajian. Dapatan menunjukkan tahap pencapaian akademik pelajar KUP berada pada
kedudukan baik (M = 3.38, SP = .38). Pelajar KUP turut menunjukkan tahap
penyesuaian (M = 70.92, SP = 10.73), kepuasan (M = 58.60; SP = 8.29), KKbP (M =
56.08, SP = 8.77), dan KKpP (M = 31.39, SP = 4.21) yang sederhana. Padanan lemah
antara pengkhususan pengajian yang sedang diikuti oleh pelajar KUP dengan jenis
personaliti mereka turut diperoleh. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap
pencapaian akademik pelajar KUP berdasarkan kelulusan Bahasa Melayu peringkat
Sijil Pelajaran Malaysia dan tahap darjah pendengaran mereka. Keputusan analisis
laluan menunjukkan penyesuaian pelajar dan kepuasan merupakan pengantara yang
signifikan dalam menerangkan hubungan antara KKbP, dan KKpP dengan pencapaian
akademik pelajar KUP. Pencapaian akademik pelajar KUP didapati hanya menerima
kesan langsung daripada KPP tanpa melibatkan pengaruh penyesuaian pelajar atau
kepuasan (β = .239; p <.001). Kesimpulannya, kajian mendapati bahawa P-E Fit
memberikan impak yang positif terhadap pencapaian akademik pelajar KUP di
politeknik sama ada dengan melalui atau tanpa melalui pengantaraan penyesuaian
pelajar. Malah, penyesuaian turut membolehkan pelajar KUP menangani masalah
ketidakselaran P-E Fit; seterusnya memberikan suatu kepuasan menyeluruh sepanjang
mengikuti pengajian di politenik.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |