UPM Institutional Repository

Sokongan budaya pembaikan sekolah dan kebolehterimaan guru kemahiran hidup bersepadu pertanian terhadap amalan penaksiran untuk pembelajaran pendidikan teknik dan vokasional


Citation

How, Shwu Pyng (2017) Sokongan budaya pembaikan sekolah dan kebolehterimaan guru kemahiran hidup bersepadu pertanian terhadap amalan penaksiran untuk pembelajaran pendidikan teknik dan vokasional. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Amalan Penaksiran untuk Pembelajaran adalah penting dalam bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) yang memberi penekanan kepada penaksiran kompetensi murid. Amalan ini juga menjadi salah satu fungsi utama bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperluaskan kepada semua mata pelajaran peringkat menengah rendah mulai kohort Tingkatan 1 pada sesi persekolahan 2012. Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Pertanian sebagai mata pelajaran berelemen PTV yang wajib kepada semua murid menengah rendah turut menuntut guru untuk mengamalkan Penaksiran untuk Pembelajaran seiring dengan aktiviti pengajaran mengikut konteks PBS. Kesepaduan antara hasrat PTV dengan pelaksanaan PBS perlu dicapai melalui amalan Penaksiran untuk Pembelajaran yang konsisten demi meningkatkan kualiti keberhasilan murid PTV. Maka kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV dalam kalangan guru KHB Pertanian dan perbezaannya berdasarkan faktor demografi terpilih. Kajian ini juga memfokus kepada sokongan yang berupaya mendorong amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV di sekolah iaitu kebolehterimaan guru KHB Pertanian serta empat sokongan lain yang meliputi kepimpinan transformasional, penglibatan dalam membuat keputusan, amalan kolaboratif dan penyeliaan pengajaran, dalam konstruk sokongan budaya pembaikan sekolah. Responden kajian ini dipilih melalui prosedur persampelan kelompok dua tingkat daripada populasi yang meliputi semua guru yang sedang mengajar mata pelajaran KHB Pertanian bagi murid Tingkatan 1 hingga 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pada sesi persekolahan tahun 2016 di seluruh Malaysia. Instrumen kajian ini adalah satu set borang soal selidik yang mengandungi empat bahagian utama. Soal selidik yang ditadbir melalui pos memperolehi kadar pulangan sebanyak 82.2% dengan melibatkan seramai 352 orang guru KHB Pertanian daripada seluruh Malaysia. Data kajian ini dianalisis menggunakan statistik deskriptif (frekuensi, peratusan dan min) dan inferensi (ujian-t, ujian ANOVA Sehala dan ujian Faktorial ANOVA) dengan bantuan perisian IBM SPSS Statistik 21 pada aras signifikan p = .05. Majoriti guru KHB Pertanian didapati hanya mengamalkan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV pada tahap sederhana. Majoriti guru KHB Pertanian juga menunjukkan kebolehterimaan terhadap amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV pada tahap sederhana sementara mengalami kepimpinan transformasional, penglibatan dalam membuat keputusan, amalan kolaboratif dan penyeliaan pengajaran dalam konstruk sokongan budaya pembaikan sekolah pada tahap sederhana. Dapatan ini menunjukkan amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV, kebolehterimaan guru KHB Pertanian dan sokongan budaya pembaikan sekolah belum mencapai tahap yang dikehendaki. Amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV seterusnya didapati berbeza dan signifikan berdasarkan salah satu faktor demografi guru KHB Pertanian terpilih iaitu peringkat kelulusan tertinggi di mana guru yang berkelulusan ijazah didapati mengamalkan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV yang lebih kerap berbanding dengan guru yang berkelulusan bukan ijazah. Dapatan kajian juga menunjukkan kesan utama yang signifikan bagi tahap amalan kolaboratif dan tahap penyeliaan pengajaran yang dialami oleh guru KHB Pertanian terhadap amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV di sekolah. Kesan interaksi yang signifikan turut didapati wujud di antara kebolehterimaan guru KHB Pertanian serta kepimpinan transformasional dan penyeliaan pengajaran yang mereka alami terhadap amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV di sekolah. Dapatan keseluruhan kajian ini telah mendedahkan keperluan yang kritikal untuk menambah baik pelaksanaan amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV peringkat sekolah terutamanya dalam kalangan guru KHB Pertanian yang berkelulusan bukan ijazah. Ia juga membuktikan kepentingan kebolehterimaan guru KHB Pertanian serta kepimpinan transformasional, amalan kolaboratif dan penyeliaan pengajaran dalam konstruk sokongan budaya pembaikan sekolah yang dialami sebagai sokongan pelaksanaan amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV di sekolah. Justeru, usaha pembaikan amalan Penaksiran untuk Pembelajaran PTV peringkat sekolah wajar ditumpukan ke arah meningkatkan tahap kebolehterimaan guru KHB Pertanian sementara mengoptimumkan tahap sokongan kepimpinan transformasional, amalan kolaboratif dan penyeliaan pengajaran yang praktikal secara berterusan.


Download File

[img]
Preview
Text
FPP 2018 33 - IR.pdf

Download (771kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Educational evaluation
Subject: Vocational evaluation
Call Number: FPP 2018 33
Chairman Supervisor: Prof. Madya Abdullah Mat Rashid, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 28 Nov 2019 10:56
Last Modified: 21 Jan 2020 00:28
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/76270
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item