UPM Institutional Repository

Fonologi bahasa Kerinci berdasarkan teori fonologi autosegmental


Citation

Mohd Rusli, Nur Farahkhanna (2017) Fonologi bahasa Kerinci berdasarkan teori fonologi autosegmental. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan menjelaskan aspek fonologi bahasa Kerinci dari segi struktur suku kata dasar, inventori segmen bunyi, proses debukalisasi dan asimilasi fitur di rima akhir kata, serta penyukuan vokal tinggi di posisi koda. Kajian tentang struktur suku kata dasar bahasa Kerinci tidak banyak dibincangkan dalam kajian sebelum ini, dan kebanyakan analisis tentangnya belum mencapai kepadaan penjelasan. Selain itu, wujud perbezaan pendapat tentang status segmen bertaraf fonem dan deskripsi yang berbeza-beza tentang rangkap vokal dan diftong bahasa Kerinci. Malah, proses debukalisasi dan asimilasi fitur di rima akhir kata, serta penyukuan vokal tinggi di koda perlu diberi penilaian semula untuk menjelaskan perubahan yang berlaku secara berpada. Setiap isu dianalisis dengan menggunakan teori fonologi autosegmental (Goldsmith, 1976/1990). Terdapat tiga proses dalam teori tersebut, iaitu proses penghubung, nyah hubung dan penyebaran fitur. Setiap proses dapat menjelaskan isu berkaitan dengan asimilasi fitur dan struktur suku kata berdasarkan geometri fitur model Halle (1992) dan model skeletal KV McCarthy (1981). Data kajian terdiri daripada sumber sekunder dan primer yang diperoleh melalui kaedah kepustakaan, pemerhatian dan temu bual dengan bantuan alat perakam, borang soal selidik dan buku catatan. Informan terdiri daripada 10 penutur Kerinci dialek Semerap yang lahir di Kabupaten Kerinci, Sumatera Barat, Indonesia, berusia 50 tahun ke atas yang tinggal di Kampung Batu 21 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor lebih daripada 30 tahun, menerima pendidikan formal yang terhad serta mempunyai kondisi organ pertuturan yang baik. Dapatan kajian menunjukkan bahasa Kerinci mempunyai struktur suku kata dasar KVK dengan pola suku kata V, VK, KV dan KVK. Syarat koda bahasa Kerinci pula tidak membenarkan konsonan /s, p, t, k, r, m, n, ŋ/ berada di koda dan kekangan ini ditangani oleh proses debukalisasi, rumus pengguguran /r/, rumus nyah hubung fitur suara dan rumus asimilasi nasal. Terdapat juga kekangan yang tidak membenarkan vokal /i/ dan /u/ berada di nukleus suku kata akhir kerana penghubungannya dengan koda yang merealisasikannya sebagai bunyi geluncuran [j] dan [w]. Hasil kajian juga menunjukkan bahasa Kerinci mempunyai enam fonem vokal, iaitu /i, e, a, ə, u, o/ dan 18 fonem konsonan, iaitu /p, b, t, d, k, ɡ, ʧ, ʤ, s, h, m, n, ɲ, ŋ, l, r, j, w/ manakala [ε, ᴐ, ?] merupakan segmen terbitan. Bahasa Kerinci mempunyai empat diftong, iaitu [aw], [aj], [oj], [ej] dan tiga rangkap vokal, iaitu [ae], [aᴐː] dan [ao]. Hasil kajian turut menunjukkan konsonan /s/ dan /p, t, k/ tidak dibenarkan berada di koda. Kekangan ini ditangani dengan proses debukalisasi yang merealisasikannya sebagai [h] dan [?]. Selain itu, vokal dalam bunyi /as/, /up/, /ut/, /uk/ dan /ai/ akan direalisasikan sebagai [εh], [ə?], [a?], [o?] dan [ej] akibat rumus asimilasi fitur yang melibatkan penyebaran fitur distingtif. Akhir sekali, analisis penyukuan vokal tinggi di nukleus suku kata akhir mendapati bahawa vokal /i/ dan /u/ boleh dihubungkan dengan koda dan direalisasikan sebagai bunyi geluncuran. Malah, analisis penyukuan vokal tinggi di koda telah dapat menjelaskan penyisipan vokal [a] dalam output kata [mã.taj] ‘mati’, [sa.taw] ‘satu’, [tu.lajh] ‘tulis’ dan [ku.rawh] ‘kurus’ yang telah dijelaskan berdasarkan model skeletal KV model McCarthy (1981).


Download File

[img]
Preview
Text
FBMK 2018 48 IR.pdf

Download (561kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Kerinci language - Phonology
Subject: Kerinci language
Subject: Kerinci language - Phonetics
Call Number: FBMK 2018 48
Chairman Supervisor: Adi Yasran bin Abdul Aziz, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 27 Nov 2019 03:54
Last Modified: 27 Nov 2019 03:54
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/75549
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item