UPM Institutional Repository

Kelestarian bahasa Jahai dari sudut sosiolinguistik


Citation

Mohd Zulkepli, Muna Afifah (2017) Kelestarian bahasa Jahai dari sudut sosiolinguistik. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Bahasa sering kali dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa sehingga terungkap slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Maka kajian mengenai pelestarian bahasa sukuan minoriti orang Asli di Malaysia yang berfokuskan kepada bahasa Jahai di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Sungai Rual merupakan suatu kajian yang serius serta harus diteliti segera dalam usaha untuk mengekalkan jiwa bangsa suku Jahai supaya tidak lapuk ditelan zaman. Tidak dapat dinafikan proses pembangunan di kawasan penempatan suku Jahai juga telah mempengaruhi penutur Jahai. Sikap kaum Jahai yang mempunyai pilihan dalam berbahasa selain bahasa Jahai juga dikenal pasti sebagai elemen penghakisan bahasa Jahai dalam kalangan penutur Jahai. Selain itu, bahasa pribumi lain serta bahasa lain juga turut mempengaruhi dan dikenal pasti sebagai faktor penymbang ke arah mempercepat berlakunya perubahan dari aspek ciri leksikal bahasa ini. Situasi dan kondisi inilah yang menarik minat pengkaji untuk membuat kajian menggunakan pendekatan sosiolinguistik bersandarkan kepada Analisis Linguistik Struktural, Teori Domain Fishman (1972) dan Teori Tipologi Keterancaman Bahasa Edward dan Sasse (1992) untuk menjawab dan menghuraikan tiga objektif kajian dalam penyelidikan ini, iaitu mencerakinkan ciri leksikal, menganalisis penggunaan bahasa dan merumuskan pengaruh dasar-dasar sosial terhadap bahasa Jahai. Kajian ini menggunakan 92 sampel daripada 1086 populasi penutur natif bahasa Jahai yang terdiri daripada empat peringkat generasi iaitu tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak di empat buah kampung yang terdapat di Sungai Rual iaitu Kampung Manok, Kampung Sungai Rual, Kampung Seberang dan Kampung Kalok. Hasil kajian ini merumuskan bahawa bahasa Jahai kaya dengan kosa katanya yang tersendiri. Penelitian yang dibuat terhadap sikap pemilihan bahasa dalam kalangan masyarakat Jahai juga tidak konsisten dalam lapan domain yang dikaji. Namun demikian, semangat mempertahankan dan melestarikan bahasa ini terus kukuh dalam diri mereka berlandaskan ikatan kekeluargaan, kejiranan dan kemasyarakatan. Sikap positif yang terdapat dalam diri suku Jahai serta persekitaran alam yang lestari berjaya membendung serta mengelak rasa rendah diri dan rasa terpinggir terhadap bahasa mereka walaupun mereka termasuk dalam kelompok penutur bahasa yang minoriti. Pola penempatan berkelompok serta kejiranan mesra Jahai dalam RPS yang disediakan oleh pihak kerajaan telah menjadikan bahasa mereka tetap utuh walaupun ada resapan asimilasi dalam bahasa Jahai. Berdasarkan huraian tipologi keterancaman bahasa pula, bahasa ini berada dalam tahap bertahan berdasarkan 10 angkubah dalam model tipologi bahasa Edward dan Sasse (1992) dengan peratusan perkahwinan campur dalam kalangan mereka yang bukan berasal daripada suku Jahai iaitu sebanyak 7% keturunan ibu dan 1.1% keturunan bapa. Walaupun peratusan ini kelihatan kecil berdasarkan situasi sekarang, namun dikhuatiri peratusan ini akan meningkat dari semasa ke semasa memandangkan orang Asli Jahai sudah mula menerima perkahwinan campur dalam masyarakat mereka. Manakala, bagi angkubah kebolehan berbahasa pula, kajian mendapati secara keseluruhannya terdapat 3% responden kurang fasih, tidak fasih dan tidak tahu berbahasa Jahai. Sebagai rumusan, dengan adanya dapatan dari aspek ciri leksikal, penggunaan bahasa dan pengaruh dasar-dasar sosial terhadap bahasa Jahai ini, maka perancangan bahasa Jahai agar kehidupan futuristik suku Jahai tetap mekar dan utuh menuturkan bahasa Jahai sebagai bahasa jiwa bangsa. Khazanah bahasa ini mesti terus dipertahankan supaya tidak pupus dan terus menjadi komunikasi suku Jahai.


Download File

[img]
Preview
Text
FBMK 2018 40 IR.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Sociolinguistics
Subject: Minorities - Language
Subject: Jehai language
Call Number: FBMK 2018 40
Chairman Supervisor: Profesor Madya Mohd Sharifudin bin Yusop, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 22 Nov 2019 00:46
Last Modified: 22 Nov 2019 00:46
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/75531
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item