Citation
Sheriff, Rossilawaty
(2018)
Pengaruh penerimaan pesanan khidmat awam kempen keselamatan jalan raya dan hubungan antara penglibatan ego dan kesannya terhadap penunggang motosikal.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap kesedaran khalayak terhadap
pesanan khidmat awam kempen keselamatan jalan raya yang diterbitkan oleh
Kerajaan dan pemilihan pesanan khidmat awam yang dibuat oleh khalayak.
Tujuan khususnya adalah untuk mengenal pasti penerimaan khalayak
penunggang motosikal terhadap pesanan khidmat awam kempen keselamatan
jalan raya yang disiarkan di televisyen Malaysia dan mengenal pasti pengaruh
penerimaan pesanan khidmat awam terhadap hubungan antara penglibatan
ego dengan kesan pesanan khidmat awam kempen keselamatan jalan raya
dari segi pemikiran (kognitif), perasaan (afektif) dan perlakuan (tingkah laku)
khalayak
Kaedah kajian melibatkan kajian kuantitatif. Data diperoleh daripada borang
soal selidik yang diubah suai dan diedarkan kepada 500 orang responden.
Mereka dipilih secara persampelan rawak berkelompok yang menunggang
motosikal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan lima kawasan
Parlimen Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan.
Responden dipertontonkan dengan tujuh buah pesanan khidmat awam
sebelum melengkapkan borang soal selidik. Dalam kajian ini, tiga pemboleh
ubah utama yang diukur iaitu faktor penglibatan ego iaitu kemalangan dan
saman (pemboleh ubah bebas), kesan pesanan khidmat awam televisyen
keselamatan jalan raya dari segi pemikiran, perasaan dan perlakuan
(pemboleh ubah bersandar) dan penerimaan pesanan khidmat awam kempen
keselamatan jalan raya (pemboleh ubah pengubah).Hasil kajian menunjukkan pesanan khidmat awam televisyen kempen
keselamatan jalan raya disedari oleh responden. Kesemua pesanan khidmat
awam diterima oleh responden kerana ia memberi pengetahuan, maklumat
berguna dan kesedaran kepada mereka. Selain itu, ujian korelasi Pearson
menunjukkan bahawa faktor penglibatan ego tidak mempunyai hubungan
yang signifikan dengan kesan pesanan khidmat awam. Dengan menambah
pemboleh ubah pengubah iaitu penerimaan pesanan khidmat awam, terdapat
hubungan positif antara faktor penglibatan ego dengan kesan pesanan
khidmat awam. Sehubungan itu, kajian ini mendapati faktor penglibatan ego
tidak memberi kesan langsung kepada kesan pesanan khidmat awam,
sebaliknya perlu melalui proses penerimaan terhadap pesanan khidmat awam
terlebih dahulu untuk mendapat kesan yang ketara atau signifikan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |