Citation
Mohd, Farra Humairah
(2018)
Pemikiran dalam cerpen kanak-kanak pilihan dari tahun 2012 hingga 2015.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pemikiran dalam cerpen kanak-kanak bermaksud idea pokok atau gagasan yang
diketengahkan oleh pengarang menerusi koleksi cerita yang berlatarkan dunia kanakkanak
sepenuhnya. Berdasarkan penelitian, pengkaji mendapati cerpen kanak-kanak
dari tahun 2012 sehingga 2015 mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa panel
penilai Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) kerana dikatakan kemerosotan
mutu penghasilan iaitu dari aspek pemikiran. Tambahan lagi, terdapat juga kritikan
daripada para sarjana tempatan yang beranggapan bahawa cerpen kanak-kanak ini
ditulis mengikut kaca mata penulis dewasa dan tidak memenuhi konsep sastera kanakkanak
serta tidak memenuhi keperluan psikologi kanak-kanak. Oleh itu, objektif
kajian ini adalah untuk mengenal pasti pemikiran berdasarkan konsep ‘pemikiran’
tokoh sarjana yang terdapat dalam cerpen kanak-kanak pilihan yang dikaji,
menganalisis pemikiran berdasarkan model keperluan kanak-kanak (janaan teori
Maslow dan teori Hashim Awang) dan merumuskan pemikiran yang dominan
terdapat dalam cerpen kanak-kanak pilihan dari tahun 2012 sehingga 2015.
Metodologi yang digunakan ialah pendekatan kualitatif dengan menggunakan kajian
kepustakaan dan kajian analisis teks. Instrumen yang digunakan ialah senarai semak
analisis teks dan menggunakan model keperluan kanak-kanak (gabungan janaan teori
Maslow dan teori Hashim Awang). Teori ini digunakan bagi menganalisis keperluan
dan kehendak kanak-kanak yang terdapat dalam karya. Sampel data yang digunakan
ialah sebanyak 130 buah teks cerpen kanak-kanak pilihan tempatan dari tahun 2012
sehingga 2015. Dapatan kajian menunjukkan terdapat lima pemikiran yang dikaji
dalam cerpen kanak-kanak pilihan dari tahun 2012 sehingga 2015 iaitu pemikiran
keagamaan, pemikiran budaya, pemikiran pendidikan, pemikiran politik dan
pemikiran ekomoni. Pemikiran keagamaan dan pemikiran pendidikan adalah
pemikiran yang paling dominan diketengahkan dalam cerpen kanak-kanak yang
dikaji. Namun, kedua-dua pemikiran ini tidak menyeluruh diketengahkan kerana
dipaparkan menerusi unsur-unsur pengajaran, bersesuaian dengan pendekatan moral,pendekatan dakwah dan pendekatan kemasyarakatan dalam teori Pengkaedahan
Melayu (Hashim Awang). Di samping itu, keperluan kasih sayang adalah peringkat
keperluan kanak-kanak yang paling dominan dipaparkan dalam kesemua cerpen
kanak-kanak yang dikaji. Signifikan kajian ialah satu penemuan pola pemikiran yang
berstruktur, bervisi, bermutu, memenuhi aspirasi nasional dan dapat memenuhi
keperluan kanak-kanak terhasil menerusi kajian ini. Malah, penemuan baharu terhasil
apabila terbinanya satu model keperluan kanak-kanak hasil daripada gabungan janaan
teori Hierarki Keperluan Manusia (Maslow) dengan teori Pengkaedahan Melayu
(Hashim Awang) yang dapat memberi input kepada para pengarang cerpen kanakkanak
untuk menghasilkan cerpen yang benar-benar bermutu dan lari dari
kelompangan ‘pemikiran’ yang sedia ada.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |