Citation
Esa, Masitah
(2017)
Transformasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dalam melaksanakan gerakan dakwah di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti transformasi Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia dalam melaksanakan gerakan dakwah di Malaysia. Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia atau dikenali sebagai YADIM merupakan sebuah
Badan Amanah yang ditubuhkan oleh kerajaan berfungsi untuk melaksanakan
gerakan dakwah bagi meningkatkan kefahaman ajaran Islam dan kesedaran dakwah
Islamiah. Oleh yang demikian, pendekatan kualitatif adalah yang paling sesuai dan
telah digunakan untuk mencapai objektif penyelidikan. Ini kerana responden
seramai 24 orang mempunyai pengalaman dan penglibatan mereka dalam
menjayakan program-program dakwah YADIM. Mereka merupakan Ahli Lembaga
Pemegang Amanah, pengurusan tertinggi dan para pegawai yang telah berkhidmat
dengan YADIM. Selain itu, agensi sekutu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan
individu juga telah memberi kerjasama dalam menjayakan program dan produk
dakwah YADIM. Teknik temu bual secara bersemuka telah diadakan di samping
pengumpulan bahan-bahan dokumentasi dan pemerhatian untuk mendapatkan data
secara holistik. Data direkod dan dikod serta dianalisis secara verbatim dengan
menggunakan perisian Atlas.Ti bagi membantu pengurusan data. Analisis terperinci
dibuat untuk menghasilkan tema bagi menjawab persoalan kajian.
Penemuan kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa permasalahan yang
dihadapi oleh YADIM iaitu kepimpinan yang berkesan, kekurangan sumber
kewangan, karenah birokrasi dalam pengurusan, kekurangan sumber tenaga
manusia dan tiada kesinambungan program dakwah. Namun begitu mutakhir ini,
YADIM telah melakukan transformasi bagi melaksanakan anjakan paradigma
dalam gerakan dakwahnya iaitu pertama, gaya kepimpinan yang meliputi sifat
pemimpin. Sifat ini termasuk pemimpin yang mempunyai imej yang berwibawa,
berilmu dan berpengetahuan luas, berwawasan, bersikap terbuka, penerapan
budaya dan nilai yang baik yang menjadi role model kepada warga YADIM dan masyarakat. Di samping mempunyai kompetensi kepimpinan meliputi kemahiran
interpersonal dalam membina hubungan, berkeupayaan mencari dana melalui
kerjasama pintar, menyelesaikan masalah dan berani membuat keputusan, kreatif
dan inovatif dalam merancang serta melaksanakan program-program dakwah.
Selain itu, teras utama transformasi dalam pengurusan meliputi kompetensi tenaga
kerja, tadbir urus yang berkesan, pembangunan media dakwah, kemahiran
berkomunikasi dan dorongan motivasi kepada keseluruhan warga YADIM.
Hasil kajian juga telah menunjukkan bahawa terdapat keberkesanan pelaksanaan
program YADIM melalui jalinan kolaborasi bersama agensi kerajaan, swasta dan
pertubuhan NGO-NGO dengan rangkaian kerjasama dari sudut bantuan dana
kewangan serta kerjasama dalam menjayakan program-program dakwah.
Seterusnya, mendakwahkan masyarakat dan komuniti dengan menubuhkan Badan
Khas yang terdiri daripada Majlis Dakwah Negara (MDN) Majlis Perunding
Wanita Islam Malaysia (MPWIM) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM),
IKON Dakwah, Sahabat YADIM, Felo Dakwah, Sukarelawan Al-Falah dan lainlain
untuk menyemarakkan kegiatan dakwah di negara ini. Metodologi dakwah
diaplikasikan dengan pembangunan media masa kini seperti facebook, twitter,
instragram, YADIMTV sebagai agen penjana dakwah bagi menyampaikan mesej
kepada masyarakat dengan lebih berkesan. Keberkesanan program dan produk
yang dilaksanakan oleh YADIM telah memberi impak positif kepada masyarakat.
Ini kerana program-program utama dan bahan-bahan penerbitan YADIM telah
menjadi trademark dan mendapat sambutan yang baik di kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, agenda transformasi dakwah YADIM sebagai pemangkin kepada
gerakan dakwah semasa melalui konsep amar ma'ruf nahi mungkar bagi memberi
kefahaman, pengamalan dan penghayatan Islam kepada masyarakat. Usaha ini
merupakan suatu pembentukan bagi melestarikan masyarakat yang bertamadun
untuk menuju ke arah masyarakat madani secara komprehensif di negara ini.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |