Citation
Mohd Hashim, Mohd Hilmi
(2014)
Strategi bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar universiti.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti penggunaan strategi bertutur secara langsung dan secara tidak langsung dalam kalangan pelajar universiti pengkhususan bahasa Arab di Malaysia dan seterusnya mengelaskan rantaian penggunaan strategi bertutur. Selain itu, kajian ini juga dijalankan untuk menganalisis penggunaan strategi bertutur baharu dalam proses bertutur bahasa Arab. Kajian kualitatif ini melibatkan responden seramai 7 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor yang dipilih secara bertujuan dan data diperolehi melalui rakaman temubual. Data tersebut kemudiannya dianalisis berdasarkan enam jenis strategi Oxford (1990) iaitu: strategi memori, strategi kognitif, strategi tampungan, strategi metakognitif, strategi afektif dan strategi sosial. Disamping itu, analisis data turut dilengkapkan lagi dengan menyelidik penggunaan strategi baharu dan juga strategi berunsur Islam. Hasil kajian mendapati responden menggunakan strategi bertutur secara langsung sama ada memori, kognitif dan tampungan. Namun kajian ini mendapati strategi tampungan paling kerap digunakan dan paling bervariasi. Hal ini disebabkan oleh keterbatasan dalam bertutur menggunakan bahasa Arab. Manakala dari aspek strategi bertutur secara tidak langsung, responden juga didapati menggunakan ketiga-tiga jenis strategi iaitu metakognitif, afektif dan sosial. Namun begitu kajian menunjukkan bahawa strategi metakognitif lebih bersifat persediaan responden untuk pembentangan dalam kelas sahaja dan juga dari aspek strategi sosial ia berkait apabila responden bertutur dengan penutur jati. Mereka lebih berminat untuk bertutur menggunakan strategi apabila bertutur dengan penutur jati Arab. Dari aspek rantaian strategi bertutur, responden didapati menggunakan pelbagai rantaian strategi untuk bertutur dalam bahasa Arab sama ada rantaian strategi bertutur secara langsung, rantaian strategi bertutur secara tidak langsung dan juga gabungan rantaian antara kedua-dua strategi bertutur yang utama. Kajian ini juga menemukan dua penemuan baharu, yang pertama penemuan strategi bertutur yang baharu seperti strategi yang dimanfaatkan daripada strategi kemahiran membaca dan strategi menukar topik. Manakala yang kedua strategi bertutur berunsurkan Islam seperti strategi mengucapkan frasa Islam, strategi membaca doa dan strategi mengadu pada Allah yang boleh disuaikan dengan kerangka konsep Oxford (1990). Secara umumnya kajian ini menunjukkan bahawa responden berusaha sedaya upaya untuk bertutur bahasa Arab dengan menggunakan pelbagai strategi, namun berkemungkinan besar mereka masih tidak cekap menggunakan strategi untuk memaksimumkan keupayaan mereka menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Arab.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |