Citation
Khalid, Khaliza
(2014)
Unsur-unsur kerohanian dalam puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Tesis ini merupakan analisis unsur-unsur kerohanian dalam kumpulan puisi Suhaimi
Haji Muhammad iaitu Kumpulan Puisi At-Tariq (2000), As-Salam (2006), Asyik
(2006), Nafas-nafas Nurani (2007) dan Taman Takwa (2009). Objektif kajian ini
ialah untuk mengenal pasti unsur-unsur kerohanian dalam kumpulan puisi Suhaimi
Haji Muhammad yang dipilih dan merumuskan unsur-unsur kerohanian dalam puisipuisi
Suhaimi Haji Muhammad. Bagi menganalisis unsur-unsur kerohanian ini
pengkaji menggunakan tiga kaedah iaitu kaedah keperpustakaan, kaedah analisis teks
atau analisis kandungan serta pengaplikasian teori iaitu teori Takmilah yang
diasaskan oleh Shafie Abu Bakar. Kajian ini bertitik tolak daripada permasalahan
berkaitan unsur-unsur kerohanian yang merupakan aspek yang perlu diberi
keutamaan dalam penghasilan karya puisi. Suhaimi Haji Muhammad sentiasa
berusaha untuk menghasilkan puisi yang dapat memberi kesedaran serta melahirkan
nilai-nilai positif dan sifat-sifat terpuji seperti benar, baik, bersyukur, tidak takbur
serta bertakwa kepada Allah SWT. Kajian ini menggunakan teori Takmilah sebagai
kerangka kajian. Berdasarkan penelitian dan analisis, didapati kesemua 7 prinsip
teori berkenaan iaitu ketuhanan yang bersifat Kamal, kerasulan sebagai insan Kamil,
keislaman yang bersifat Akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera
sendiri yang berciri estetik dan bersifat Takmilah, pengkarya yang seharusnya
mengistikmalkan diri dan khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan Kamil
adalah ditemui dalam puisi-puisi yang dikaji.
Unsur-unsur kerohanian yang ditemui melalui analisis adalah seperti persoalan
tentang hubungan kerohanian dengan akidah, muhasabah diri, mujahadah al-nafs,
maqam-maqam kerohanian seperti makrifatullah, taubat, zuhud, sabar, takwa,
tawakkal, redha, syukur serta amar ma’ruf nahi mungkar dan insan al-Kamil. Hasil kajian mendapati dalam kelima-lima Kumpulan Puisi Suhaimi Haji Muhammad
yang dikaji kebanyakannya mengutarakan unsur-unsur kerohanian dan sesuai dengan
pengaplikasian teori Takmilah. Penemuan ketujuh-tujuh prinsip teori Takmilah dalam
kumpulan puisi yang dikaji membuktikan kumpulan puisi karya Suhaimi Haji
Muhammad ini padat dengan nilai-nilai keagamaan dan pengajaran serta dapat
dikategorikan dalam hasil karya sastera Islam yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh
khalayak sastera Melayu-Islam, sama ada di Malaysia mahupun di dunia berbahasa
Melayu.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |