Citation
Kasran, Husaini
(2014)
Keperluan pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan warga emas.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Analisis keperluan merupakan satu syarat penting dalam membina sesuatu program bahasa Arab yang efektif terutamanya yang melibatkan golongan dewasa khususnya warga emas. Prinsip atau teori pembelajaran dewasa yang melihat bahawa golongan dewasa mempunyai autoriti dalam menentukan keperluan dan kehendak pembelajaran memerlukan kepada analisis awal keperluan tersebut sebelum menjalankan sesuatu modul pembelajaran bahasa kepada mereka bagi memastikan keperluan dan kehendak ini dipenuhi. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mendorong warga emas mempelajari bahasa Arab, menyenaraikan bahan yang bertepatan dengan keperluan pembelajaran mereka serta menganalisis proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang sesuai untuk mereka. Kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif ini melibatkan lima (5) orang responden yang pernah mengikuti kursus bahasa Arab. Pengumpulan data kajian dibuat melalui rakaman temu bual. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga (3) faktor utama golongan warga emas mempelajari bahasa Arab iaitu faktor agama, faktor komunikasi dan faktor kemasyarakatan. Berkenaan bahan pembelajaran, golongan warga emas cenderung untuk mempelajari topik yang berkaitan dengan tema agama, tema komunikasi, unsur bahasa seperti fonologi, morfologi, sintaksis, kosa kata serta keindahan bahasa dan unsur kemahiran bahasa iaitu membaca, bercakap, mendengar dan menulis. Berkaitan analisis proses pengajaran dan pembelajaran pula, pendidik perlu bijak menggunakan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang bertepatan dengan tahap kognitif, afektif dan fizikal golongan tersebut serta bijak menghubungkaitkanya dengan prinsip pembelajaran golongan dewasa. Antara strategi yang sesuai diaplikasikan ialah strategi berpusatkan guru, strategi berpusatkan pelajar dan strategi berpusatkan bahan. Pendekatan yang digemari pula ialah pendekatan tematik, pendekatan komunikasi dan pendekatan al-Quran dan hadis. Sementara itu, kaedah yang boleh diaplikasikan ialah kaedah elektik, kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah pengulangan dan kaedah ajuk dan hafal. Berkaitan teknik tenaga pengajar boleh mengaplikasikan teknik soal jawab, teknik main peranan, teknik kuiz dan teknik permainan bahasa. Meskipun begitu terdapat juga teknik yang tidak digemari oleh warga emas seperti teknik nyanyian. Hasil kajian juga telah menemukan beberapa dapatan sampingan antaranya dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran ke atas pelajar warga emas, guru boleh mengadakan ujian ringan, menggunakan bahan bantu mengajar, sentiasa peka akan topik yang diperbincangkan, berusaha untuk tidak mengenakan hukuman serta perlu membuat teguran secara berhikmah atas sebarang kesilapan pelajar. Kajian yang dijalankan ini telah berjaya membuktikan akan kepentingan melaksanakan analisis keperluan kerana ia terbukti berjaya dalam menyingkap keperluan dan kehendak pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan warga emas yang boleh direalisasikan dengan pembinaan suatu modul khusus untuk golongan tersebut.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |