Citation
Tambi, Noordeyana
(2016)
Kelestarian komuniti peniaga Melayu bazar larut malam di Lembah Klang, Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian ini dilakukan untuk menentukan kelestarian komuniti peniaga bazar larut malam menerusi pemilikan modal sosial, modal insan, modal kewangan dan modal fizikal (sebagai modal komuniti peniaga).Secara khususnya, objektif kajian ini adalah untuk i) memahami latar belakang komuniti peniaga bazar larut malam dan latar belakang perniagaan mereka; ii) menentukan tahap modal komuniti peniaga (modal sosial, modal insan, modal kewangan dan modal fizikal); iii) menentukan tahap kelestarian komuniti peniaga (kelestarian sosial, kelestarian ekonomi dan kelestarian persekitaran); iv) menentukan hubungan modal komuniti peniaga dengan tahap kelestarian komuniti peniaga; dan v) menentukan faktor peramal yang menyumbang kepada kelestarian komuniti peniaga. Seramai 250 peniaga terlibat sebagai responden dari dua buah bazar larut malam yang beroperasi di Danau Kota (118 responden) dan juga di Cheras (132 responden). Responden ini dipilih berdasarkan ciri-ciri berikut iaitu 1) peniaga Melayu, dan 2) pemilik perniagaan. Data dikumpul menggunakan borang soal selidik yang ditadbir sendiri oleh responden dengan pemantauan minima oleh penyelidik. Tahap modal komuniti peniaga dan tahap kelestarian komuniti peniaga diukur menggunakan alat ukuran yang dibina sendiri oleh penyelidik; yang merangkumi: konstruk modal sosial (13 item), konstruk modal insan (8 item), konstruk modal kewangan (6 item), konstruk modal fizikal (6 item), konstruk kelestarian sosial (7 item), konstruk kelestarian ekonomi (6 item) dan konstruk kelestarian persekitaran (6 item). Kesemua instrumen yang digunakan dalam kajian ini menghasilkan nilai pekali kebolehpercayaan alfa Cronbach antara 0.895 hingga 0.975. Analisis statistik yang digunakan adalah analisis korelasi Pearson dan analisis regresi berganda.Dapatan kajian menunjukkan tahap modal komuniti peniaga berada tahap sederhana dan secara puratanya responden memiliki tahap modal sosial yang baik dengan purata 2.28 (S.P = 0.47), diikuti tahap modal insan dengan purata 2.25 (S.P = 0.43), tahap modal fizikal dengan purata 2.16 (S.P. = 0.40) dan tahap modal kewangan 1.88 (S.P. = 0.46). Seterusnya, kajian membuktikan tahap kelestarian komuniti peniaga bazar larut malam adalah berada pada tahap sederhana dengan berdasarkan perbezaan purata yang tidak ketara bagi setiap jenis kelestarian, iaitu responden memiliki tahap kelestarian ekonomi yang baik dengan purata 2.29 (S.P = 0.47), diikuti tahap kelestarian persekitaran dengan purata 2.25 (S.P = 0.44), dan tahap kelestarian sosial dengan purata 2.24 (S.P. = 0.44).Hasil kajian juga menunjukkan hubungan yang signifikan antara modal komuniti peniaga dengan tahap kelestarian komuniti peniaga. Terdapat tiga variabel bebas yang menyumbang kepada konstruk kelestarian komuniti peniaga iaitu modal fizikal (β=0.380, p<0.05), modal insan (β=0.280, p<0.05) dan juga modal sosial (β=0.113, p<0.05). Ujian regresi berganda menunjukkan 31% varians bagi konstruk kelestarian komuniti peniaga dijelaskan oleh tiga variabel tersebut [F (4, 250) = 27.48, p<0.01]. Kesimpulannya, dapatan ini menunjukkan modal fizikal merupakan prediktor utama kepada kelestarian komuniti peniaga bazar larut malam, di samping modal insan dan modal sosial. Hal ini demikian kerana ruang niaga yang tetap, kukuh dan stabil menjadi aspek penting yang diperlukan oleh komuniti peniaga ini. Natijahnya,kelestarian komuniti peniaga bazar larut malam ini boleh ditingkatkan dengan mewujudkan ruang niaga yang tetap, gerai yang kukuh dan lokasi yang stabil, yang memberi jaminan kepada peniaga sekaligus menggalakkan kunjungan pembeli ke bazar larut malam tersebut.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |