Citation
Fateh Din, Husin
(2016)
Etimologi kitab pengetahuan bahasa.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kajian Etimologi ini menghuraikan sumber kata entri Kitab Pengetahuan Bahasa
(KPB) karya Raja Ali Haji (RAH) berdasarkan pendekatan etimologi. Kajian ini
bertujuan menganalisis 1677 entri KPB, menghubungkaitkan sistem ejaan Jawi entri
KPB dengan etimologi berdasarkan ciri fonetik dan fonologi, menghubungkaitkan
makna entri KPB dengan etimologi berdasarkan Analisis Komponen Makna (AKM).
Kajian lampau terhadap aspek entri, makna dan fonetik fonologi belum banyak
dihubungkan dengan etimologi. Kajian ini dibuat bertitik tolak daripada hujah bahawa
edisi karya agung ini amat bernilai sebagai manuskrip pembelajaran bahasa dan
warisan peradaban Melayu tetapi manuskrip ini sukar difahami. Berasaskan hujah
tersebut, warisan agung ini perlu difahami dan dipelihara. Sejumlah 1677 entri KPB
dianalisis berlandaskan konsonan tambahan Jawi Melayu untuk mengenal pasti
etimologi. Menerusi ciri fonetik dan fonologi, iaitu menganalisis penggantian hamzah
ء) ) kepada qaf ( ق), fa ( ف) kepada pa ( ڤ) dan adaptasi ghain ( غ) dengan nga (ݞ), sistem
ejaan Jawi entri KPB dihubungkan dengan etimologi. Seterusnya analisis komponen
makna melalui perkaitan inklusi, tumpang tindih, komplimentasi dan kontiguiti dibuat
untuk menghubungkaitkan makna entri KPB dengan etimologi. Data dikumpul melalui
kaedah kepustakaan dengan batasan 1677 entri KPB dan berlandaskan Daftar Kata
Bahasa Melayu/DKBM (2016). Data 1677 entri KPB tersebut dianalisis menggunakan
konsonan tambahan Jawi Melayu, Lima Kamus (5K), dan batu bersurat untuk
mengenal pasti etimologi asli Melayu entri KPB. Dapatan kajian menunjukkan
etimologi 946 entri KPB ialah asli Melayu. Dapatan 946 entri KPB asli Melayu ini
diperkukuh dengan analisis ciri fonetik fonologi dan AKM untuk dihubungkaitkan
dengan etimologi Melayu. Terdapat banyak entri KPB yang mengalami perubahan
seperti peluasan makna, penyempitan makna dan kepupusan. Refleksi kepada dapatan
kajian ini, pengguna bahasa dapat mengenal pasti etimologi entri, meluaskan bidang
ilmu etimologi dan memelihara edisi karya agung ini agar terus bernilai dan tidak
pupus. Selain itu hasil kajian ini membawa implikasi kepada pejuang bahasa,
penggubal kamus, kepimpinan organisasi agar dapat mengapresiasi etimologi entri
KPB. Seterusnya kajian lanjut berkaitan kata serapan KPB, kaedah kajian, dasar DBP,
dan makna dicadangkan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |