Citation
Muda, Norajihah
(2016)
Penggunaan bahasa suku Che Wong di Kuala Gandah, Pahang, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengandungi kepelbagaian kaum dan etnik
yang membawa kepada kepelbagaian bahasa yang mewakili setiap suku kaum. Orang Asli merupakan salah satu suku kaum yang tinggal di Malaysia yang terbahagi kepada tiga golongan, iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto. Che Wong merupakan salah satu suku kaum Orang Asli yang tergolong dalam suku masyarakat orang Asli Senoi. Suku Senoi merupakan suku Orang Asli yang terbesar, diikuti oleh kelompok Melayu-Proto
dan kelompok Negrito. Suku Che Wong sebahagian besarnya terdapat di Pahang yang berjumlah kira-kira 651 orang yang tinggal terutamanya di kawasan Kuala Gandah. Perkampungan Orang Asli Kuala Gandah terletak di daerah Temerloh. Perkampungan
ini juga terletak berdekatan dengan Pusat Ekskavasi Gajah Kebangsaan. Kajian ini memberi tumpuan terhadap aspek bahasa yang dituturkan oleh penduduk suku Orang Asli Che Wong di Kuala Gandah. Kajian ini menggunakan khidmat imforman yang merupakan penutur natif dalam kalangan suku Che Wong. Kajian ini mengemukakan
kepada tiga objektif, iaitu pertama mengenal pasti penggunaan bahasa suku Che Wong dalam kalangan anggota masyarakatnya di Kuala Gandah; kedua, membandingkan
penggunaan bahasa suku Che Wong dan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat Che Wong di KualaGandah dan objektif ketiga pula, menghuraikan kelestarian penggunaan bahasa Suku Che Wong di Kuala Gandah.Teori yang
digunakan dalam kajian ini ialah teori etnolinguistik dan kaedah tipologi keterancaman
bahasa. Teori etnolinguistik dan kaedah tipologi keterancaman bahasa digunakan dalam menganalisis dan menjawab ketiga-tiga objektif. Dua kaedah digunakan dalam pengumpulan data, iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kaedah kuantitatif digunakan untuk mengkaji sikap dan tingkah laku dalam bahasa. Kaedah kualitatif pula digunakan untuk mengkaji sistem bunyi bahasa melalui teknik pemerhatian, teknik bercerita, teknik lafaz, teknik temu bual dan soal selidik. Sebanyak 80 orang responden telah dipilih dalam kalangan masyarakat Che Wong. Dapatan kajian menunjukkan
bahasa suku Che Wong masih lagi utuh dan dilestarikan dalam kalangan anggota masyarakatnya walaupun sudah terdapat pengaruh bahasa luar. Hal ini demikian kerana faktor tinggal berkelompok dalam lingkaran kaum mereka sahaja menyebabkan bahasa mereka tetap utuh dituturkan dalam kehidupan seharian.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |