UPM Institutional Repository

Hubungan penyertaan, kepimpinan dan pendayaupayaan dalam kalangan ahli pergerakan wanita pekebun kecil di Johor, Malaysia


Citation

Ani, Fauziah (2016) Hubungan penyertaan, kepimpinan dan pendayaupayaan dalam kalangan ahli pergerakan wanita pekebun kecil di Johor, Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Dalam kontek pembangunan komuniti, pendayaupayaan merupakan satu proses aktif yang mana individu, organisasi dan komuniti boleh bertindak untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Penyertaan ahli komuniti dalam aktiviti pembangunan didorong oleh faedah yang dijangka akan diperolehi adalah penting untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk memperbaiki kehidupan yang lebih baik. Bertitik tolak daripada andaian tersebut, maka kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk meneroka dan mengenalpasti hubungan antara peringkat penyertaan dan pendayaupayaan ahli serta peranan gaya kepimpinan dalam Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di negeri Johor. Kajian ini dikhususkan kepada peringkat penyertaan yang terdiri daripada pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah bagi meramalkan pendayaupayaan yang terdiri daripada tiga dimensi iaitu ekonomi, sosial dan psikologi. Seramai 366 responden yang terdiri daripada ahli PWPK telah dipilih berdasarkan persampelan rawak berstrata yang dibahagikan mengikut daerah dan perkumpulan bagi menentukan tanda aras ketiga-tiga dimensi pendayaupayaan. Statistik deskriptif digunakan untuk menjelaskan ciri-ciri individu dan kumpulan sebagai langkah pertama dalam analisis data. Ujian Manova pula dilaksanakan bagi melihat perbezaan faktor pendayaupayaan (ekonomi, sosial dan psikologi) berasaskan tempoh penyertaan ahli PWPK. Seterusnya hubungan antara ketiga-tiga peringkat penyertaan dengan ketigatiga dimensi pendayaupayaan pula menggunakan analisis korelasi pearson. Manakala statistik inferensi menggunakan Model Persamaan Struktur atau SEM berbantukan perisian AMOS 21 bagi mengkaji pengaruh peringkat penyertaan (pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah) ke atas pendayaupayaan (ekonomi, sosial dan psikologi). Selain itu, peranan gaya kepimpinan (transformasional, transaksional dan Laissez Faire) sebagai variabel penyederhana ke atas hubungan antara penyertaan dan pendayaupayaan juga dianalisis dengan menggunakan perisian ini. Secara umumnya, keputusan menunjukkan terdapat hubungan yang sederhana dan signifikan antara peringkat penyertaan (pembuatan keputusan, pelaksanaan dan penerimaan faedah) dengan pendayaupayaan sosial dan psikologi, dan hubungan yang tinggi antara peringkat penyertaan dalam pelaksanaan dan penerimaan faedah dengan pendayaupayaan ekonomi. Manakala keputusan analisis regresi pelbagai pula menunjukkan dimensi ekonomi merupakan dimensi yang paling banyak diterangkan oleh ketiga-tiga peringkat penyertaan iaitu sebanyak 84% varians, diikuti dimensi sosial (47%) dan psikologi (38%). Keputusan juga menunjukkan penyertaan dalam penerimaan faedah merupakan peramal yang paling penting dalam mempengaruhi pendayaupayaan ekonomi dalam PWPK. Selain itu, keputusan juga membuktikan bahawa dalam kontek PWPK, penyertaan dalam pembuatan keputusan merupakan variabel peramal yang paling rendah menerangkan ketiga-tiga dimensi pendayaupayaan. Seterusnya kesan penyederhanaan dalam kajian ini memperoleh dapatan kajian yang berbeza bergantung pada pada jenis gaya kepimpinan, peringkat penyertaan dan dimensi pendayaupayaan itu sendiri. Namun secara umumnya keputusan menunjukkan gaya kepimpinan transformasional dan transaksional memberi kesan penyederhanaan yang lebih kuat dan positif ke atas peringkat penyertaan dan pendayaupayaan berbanding Laissez Faire dan seterusnya menyokong kajian lepas. Secara keseluruhannya dapatan daripada kajian ini membuktikan bahawa dengan adanya peringkat penyertaan yang tinggi, ditambahkan lagi dengan adanya pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan yang sesuai dalam OBK, menyumbangkan kepada peningkatan pendayaupayaan ekonomi, sosial dan psikologi ahli komuniti. Malahan penemuan kajian ini juga menyumbang dan memperluaskan pemahaman ke atas pendayaupayaan ahli OBK khususnya dalam kontek PWPK di Johor. Berdasarkan dapatan kajian ini juga beberapa cadangan telah dibuat ke arah meningkatkan pendayaupayaan ahli PWPK dengan memberi tumpuan kepada penyertaan dan gaya kepimpinan.


Download File

[img]
Preview
Text
fem 2016 12 ir.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Women farmers - Malaysia
Subject: Employee empowerment
Subject: Leadership
Call Number: FEM 2016 12
Chairman Supervisor: Profesor Madya Asnarulkhadi bin Abu Samah, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 11 Jun 2019 00:54
Last Modified: 11 Jun 2019 00:54
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/68673
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item