UPM Institutional Repository

Variasi leksikal dalam dialek keluarga Dusun di Sabah


Citation

Sintian, Minah (2017) Variasi leksikal dalam dialek keluarga Dusun di Sabah. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Dusun merupakan keluarga bahasa dalam rumpun Kadazandusun yang terdiri daripada tiga keluarga, iaitu Dusun, Murut dan Paitan. Keluarga Dusun terdiri daripada 31 suku yang mempunyai dialek tersendiri dan tersebar luas di seluruh pelusuk negeri Sabah. Kajian ini memfokuskan kepada 6 dialek dalam keluarga Dusun, iaitu dialek Bunduliwan, Tangara, Tatana, Rungus, Dumpas dan Mangkaak. Kerencaman dialek dalam keluarga Dusun mewujudkan isu kesalingfahaman antara penutur dialek kesan daripada keadaan topografi dan jarak lokasi penutur. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan kata kognat dialek Bunduliwan dengan dialek-dialek lain dalam keluarga Dusun, menganalisis ciri-ciri leksikal yang membezakan dialek keluarga Dusun dan merumuskan kekerabatan bahasa antara dialek dalam keluarga Dusun. Pengkaji menggunakan pendekatan sosiolinguistik dengan bersandarkan teori leksikostatistik untuk menjelaskan soalan dan objektif kajian. Kajian yang bersifat sinkronik ini menggunakan reka bentuk penyelidikan kualitatif. Data dikutip melalui kaedah pustaka dan lapangan terutama melalui analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian. Sebanyak 207 kosa kata yang terdapat dalam daftar kata Swadesh terjemahan bahasa Melayu telah digunakan sebagai instrumen kajian bagi mendapatkan data leksikal keluarga Dusun. Kajian menunjukkan bahawa terdapat kata kognat dan bukan kognat antara dialek Bunduliwan dengan dialek-dialek lain. Kajian juga mendapati bahawa terdapat perubahan bunyi pada leksikal dalam dialek-dialek secara sekata. Pasangan variasi bunyi konsonan yang ditemui pada leksikal dalam kajian ini ialah bunyi /l/ dan /h/, bunyi /r/ dan /l/, bunyi /l/ dan /d/, bunyi /h/ dan /s/, bunyi /w/ dan /v/, bunyi /y/ dan /z/ serta bunyi /Ɂ/ dan /k/. Variasi ini tersebar di awal dan akhir perkataan, suku kata kedua, ketiga dan suku kata akhir. Selain itu, perubahan bunyi juga berlaku apabila bunyi konsonan digugurkan di awal, tengah dan akhir perkataan. Tahap kekerabatan bahasa antara penutur dialek-dialek keluarga Dusun juga adalah tidak seragam, iaitu terdapat hubungan kekerabatan yang rendah, sederhana dan tinggi. Kajian mendapati dialek Bunduliwan mempunyai hubungan kekerabatan yang agak tinggi dengan dialek Tangara, iaitu sebanyak 85.37% sementara hubungan kekerabatan yang agak rendah ditemui antara dialek Tatana dengan dialek Mangkaak, iaitu 50%. Kata bukan kognat dan perubahan bunyi leksikal dalam dialek keluarga Dusun menjelaskan isu kesalingfahaman antara penutur. Kajian ini memberi implikasi kepada pengayaan dan pemantapan istilah serta kosa kata dalam mata pelajaran Bahasa Kadazandusun yang diajar di sekolah rendah, menengah, institut pendidikan guru dan universiti tempatan.


Download File

[img]
Preview
Text
FBMK 2018 12 IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Dusun Deyah dialect
Subject: Languages, Mixed - Sabah - Malaysia
Call Number: FBMK 2018 12
Chairman Supervisor: Mohd. Sharifudin bin Yusop, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 14 May 2019 02:37
Last Modified: 14 May 2019 02:37
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/68472
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item